ENGLAND 1 SLOVENIA 0

England mara ke Piala Dunia 2018 selepas mencipta kemenangan tipis 1-0 ke atas Slovenia tetapi pengurus pasukan, Gareth Southgate, mengakui masih banyak perkara harus dilakukan jika mahu menjadi pasukan pilihan beraksi di Russia, tahun depan.


Kapten pasukan, Harry Kane, menjaringkan gol kemenangan di Wembley untuk memastikan mereka unggul dalam Kumpulan F selepas aksi kurang memberangsangkan dan bekas pengendali Middlesbrough itu mengetahui mereka perlu mempertingkatkan lagi mutu permainan untuk lapan bulan berikutnya.

"Saya berasakan pasukan ini memiliki potensi tetapi kami perlu melakukan banyak perubahan terlebih dahulu," kata Southgate.

"England telah menempuhi saat yang sukar apabila tersingkir dalam peringkat kumpulan dalam Piala Dunia 2014, dan disingkirkan oleh Iceland dalam Kejohanan Eropah yang lalu.

"Tetapi kami sekali lagi akan ke Piala Dunia dan kami sedang berusaha untuk mempertingkatkan mutu permainan pada setiap masa.

"Penjaga gol, Joe Hart, telah berjaya menyelamatkan gawang England dalam beberapa percubaan pasukan lawan.

"Kami menyedari bahawa banyak perkara yang harus dilakukan," katanya lagi.