Pengurus England, Gareth Southgate menyatakan dirinya dikecam setelah menyertai inisiatif pemerintah Britain untuk mendorong orang bagi mendapat vaksin COVID-19.

Southgate, merekodkan video bagi menyokong program vaksinasi bagi menjadi sebahagian daripada kempen untuk mendesak orang muda agar diinokulasi, yang menurutnya adalah perkara yang 'bertanggungjawab' untuk dilakukan.

"Daripada semua kecaman yang saya terima sepanjang musim panas ini, di antaranya ada beberapa, mungkin ini yang paling banyak saya terima," kata Southgate kepada media Britain.

"Satu-satunya jalan keluar dari pandemik ini adalah vaksinasi. Saya faham banyak orang muda tidak begitu berminat, mereka mempersoalkan perkara ini."

Southgate, yang menamakan skuad 25 pemain untuk kelayakan Piala Dunia bulan depan semalam, mengatakan bahawa dia tahu akan berdepan reaksi marah kerana menyokong vaksinasi.

"Apabila anda ingin membuat perbezaan dan memberikan sokongan terhadap sesuatu usaha dan inisiatif, maka anda tahu anda tidak akan menyenangkan semua orang," katanya.

"Tidak semestinya tepat untuk mengatakan bahawa sebagai orang muda anda tidak akan mengalami gejala yang rumit.

"Tetapi saya tahu penerimaan perakra itu berbeza di antara kelab serta individu. Sekiranya mereka berusia lebih dari 18 tahun, mereka mempunyai hak untuk membuat keputusan sendiri."

England akan beraksi dalam kelayakan Piala Dunia menentang Hungary, Andorra dan Poland antara 2-8 September dan kini mendahului Kumpulan I dengan sembilan mata daripada tiga perlawanan.