ENGLAND 0 SWITZERLAND 0
(England menang sepakan penalti 6-5)

Gareth Southgate bingung setelah England hanya diberikan pingat susulan kejayaan menduduki tangga ketiga Liga Negara-Negara UEFA malam tadi tanpa sebarang sesi penyampaian hadiah.


England mengatasi Switzerland 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi terikat 0-0 di Guimaraes itu tatkala Jordan Pickfor muncul wira menafikan tendangan Josip Drmic selepas menyempurnakan sepakannya sebelum itu.

Skuad The Three Lions tewas di tangan Belgium dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia tahun lalu dan Presiden FIFA, Gianni Infantino, menyampaikan pingat gangsa kepada pemain dan staf pasukan.

Southgate tidak pasti mengapa tiada upacara penyampaian hadiah dalam edisi sulung Liga Negara-Negara UEFA berkenaan.

"Saya masih tidak faham. Kami perlu melalui aksi tempat ketiga dan memenanginya tetapi tidak dapat meraikannya di depan peminat!," kata bekas pemain Middlesbrough itu.

"Saya masih ingat ada pemain di Liverpool yang beraksi bersama saya berkata bekas pengurus, Joe Fagan, mencampakkan pingat keluar daripada bas ketika pra-musim dan berkata, 'Dapatkannya dan jika anda bermain cukup perlawanan, ambil satu', dan mungkin itu menyamai apa yang kami lalui ketika ini.

"Satu-satunya pingat yang saya fikir kami terlibat adalah Tournoi De France pada 1997 sewaktu era Glenn Hoddle. Jadi, bagus jika kami meraih pengalaman sama di atas apa yang kami lakukan tahun lalu. Namun, kami harus ketepikannya dan teruskan perjuangan."

Kesilapan individu menyebabkan England gagal ke final apabila tewas 3-1 di tangan Belanda dalam separuh akhir dan Southgate menerima pasukannya akan kecewa gagal menamatkan kemarau kejuaraan antarabangsa sejak kejayaan Piala Dunia 1966.

"Bagi saya, langkah sama adalah kekecewaan gagal mara ke final dan memenangi trofi," tambahnya.

"Saya rasa kami bermain baik Khamis lalu tetapi melakukan kesilapan mudah, jadi penting untuk kami bangkit hari ini menerusi persembahan bermutu tinggi.

"Pemain menyesuaikan diri dengan baik, kami mengubah corak dan mereka membuktikan kami patut memenangi perlawanan.

"Kami berhak menang dalam aksi ini kerana peluang yang dicipta serta jumlah percubaan yang mengenai tiang, jadi ia perkara baik untuk saya.

"Ia satu reaksi bagus setelah beberapa perbincangan yang dilalui mengenai kekecewaan setelah melangkah jauh.

"Kami juga sedar peluang tidak mudah diraih di peringkat antarabangsa, jadi kami perlu memastikan kami meneruskan kecemerlangan dalam beberapa tahun akan datang."