Pemain tengah West Ham, Tomas Soucek, menyelar ugutan bunuh yang diterima Mike Dean di media sosial berikutan insiden pengadil itu menghadiahkan dua kad merah kontroversi.

Dean mengarahkan Soucek meninggalkan padang pada masa kecederaan ketika Hammers seri 0-0 dengan Fulham, Sabtu lalu, selepas pemain Republik Czech itu menyiku Aleksandar Mitrovic secara tidak sengaja.

Kejadian itu menyusuli keputusan Dean untuk turut bertindak keras terhadap tonggak Southampton, Jan Bednarek, dalam kemenangan 9-0 Manchester United di Old Trafford, empat hari sebelumnya.

Dean melayangkan kad merah dalam kedua-dua perlawanan itu selepas meneliti menerusi video bantuan pengadil (VAR) namun hukuman tersebut dibatalkan dan kedua-dua pemain berkenaan tidak perlu menjalani penggantungan.




Dean dilaporkan diminta agar tidak mengadali sebarang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hujung minggu ini selepas dia dan keluarganya menjadi sasaran ancaman di media sosial.

Soucek kemudian mempertahankan Dean sambil menegaskan apa yang berlaku di padang harus dibiarkan di sana.

"Apa sahaja keputusan yang dibuat di atas padang harus kekal di lapangan," katanya di Twitter.

"Saya tidak suka mendengar kehidupan peribadi seseorang terganggu jadi saya memberikan sokongan kepada Mike Dean dan ahli keluarganya.

"Tidak perlu mengugut atau seumpamanya. Ia sudah berlalu dan saya sekarang fokus kepada baki saingan musim ini."