Jurgen Klopp berharap kembalinya peminat ke Anfield mampu membangkitkan semangat Liverpool ketika mereka menghadapi perlawanan penentuan dengan Crystal Palace bagi mengukuhkan kedudukan ke Liga Juara-Juara (UCL).

Kemenangan 3-0 di Burnley kelmarin mengangkat The Reds ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk memintas Leicester City berdasarkan perbezaan gol dan hanya satu mata mengekori pencabar di tempat ketiga, Chelsea.

Kelab Merseyside itu melengkapkan musim yang penuh berliku dengan menjadi tuan rumah kepada Palace, malam esok, sambil 10,000 peminat dibenarkan menghadiri pertandingan berikutan perubahan dalam sekatan penjarakan sosial.

Pertembungan itu merupakan perlawanan terakhir buat pengurus The Eagles, Roy Hodgson sebelum bersara dan kebetulan perlu berdepan bekas kelabnya.

Justeru, Klopp menyedari cabaran yang akan dilontarkan oleh seterunya itu kelak.



Namun, pengurus kelahiran Jerman itu -- yang mengakui sudah terbiasa dengan tekanan pada hari terakhir -- menuntut anak buahnya yang berada di atas padang supaya lebih bersabar sekiranya strategi mereka tidak membuahkan hasil dengan segera seperti yang dirancang selain mengakui masih ada usaha yang harus dilakukan walaupun prestasi mereka semakin positif baru-baru ini.

"Anda harus berjuang untuk itu, saya amat menghormati Crystal Palace termasuk apa yang ingin mereka lakukan buat Roy dalam perlawanan terakhirnya sebagai pengurus," katanya mengenai perebutan kedudukan empat teratas.

"Saya yakin mereka akan mencurahkan segalanya dan pasti akan berbuat demikian, seperti yang dilakukan oleh beberapa pencabar terakhir kami.

"Penyokong akan kembali dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyambut mereka semua -- sukar membayangkan betapa saya tidak sabar-sabar lagi untuk melihatnya mereka semula, sekurang-kurangnya 10,000 daripadanya.

"Di sebalik kegembiraan ini, adalah penting juga kami tidak mudah hilang sabar dalam perlawanan. Kami memerlukan sokongan terbaik, padu dan sangat menggalakkan, sama seperti tahun-tahun sudah.

"Ia akan menjadi satu pertemuan yang sangat sengit dan apabila anda berjuang untuk UCL, ia pasti sengit."

The Reds menguasai tangga keempat liga sebagai tiket terakhir ke pentas Eropah untuk mengatasi seteru terdekat, Leicester City, dengan perbezaan gol.

Malah, anak buah Klopp membelasah wakil dari Palace 7-0 untuk menguasai puncak dengan kelebihan lima mata pada Disember lalu.

Begitupun, dia mengingatkan anak buahnya agar usah mendabik dada.

"Ini musim yang pelik dan sengit; tidak ada yang akan dapat mengubah hakikatnya. Tetapi kami memiliki kelebihan di tangan kami sekarang untuk meraih kedudukan empat teratas.

"Ia belum terjamin. Kami berdepan saingan dan ini adalah bola sepak. Kami hanya mahu fokus kepada 95 minit permainan."