Pemain sayap Melaka United, Sony Norde, menyambut baik kehadiran pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super 2021, Ifedayo Olusegun, ke dalam pasukan Hang Tuah itu.

Jelasnya, penyerang baru itu mampu membawa watak pembunuh pasukan lawan dalam misi membawa pulang satu trofi ke bumi bersejarah itu.

Norde berpandangan bahawa pasukannya memerlukan sekurang-kurangnya empat perlawanan untuk mendapatkan keserasian sesama pemain menjelang pembukaan saingan Liga Malaysia musim ini.

"Dia (Ifedayo) akan menjadi amat berguna buat kami kerana sepanjang beberapa musim ini, kami kekurangan seorang pemain yang boleh membawa watak 'pembunuh' di bahagian serangan," katanya kepada Astro Arena.

"Ifedayo seorang pemain yang anda boleh harapkan segala-galanya dalam setiap momen, jadi anda hanya perlu memberikannya hantaran yang baik dan dia akan menjaringkan gol kerana dia seorang penjaring gol.

"Ini merupakan kali pertama saya akan bermain dengannya dan kita semua tahu bahawa bola sepak hanya ada satu bahasa.

"Hanya di atas padang anda dapat memahami sesama sendiri tetapi saya fikir ia memerlukan masa dan kami memerlukan sekurang-kurangnya empat perlawanan persahabatan sebelum liga bermula," katanya.