Pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berharap Alexis Sanchez sempat pulih daripada kecederaan paha menjelang aksi menentang Tottenham Hotspur minggu depan.

Semalam, United meraih kemenangan kelima sejak ketibaan Solskjaer apabila jaringan babak pertama daripada Juan Mata dan Romelu Lukaku membolehkan mereka melangkah ke pusingan keempat Piala FA dengan kemenangan 2-0 ke atas pasukan Liga Kejuaraan, Reading.

Kemenangan itu turut menyaksikan Sanchez terpaksa dibawa keluar ketika perlawanan berbaki 25 minit ekoran kecederaan paha.

Namun, Solskjaer yakin bintang Chile itu mampu diturunkan dalam aksi di Wembley minggu depan.

"Saya harap ia tidak begitu teruk," kata Solskjaer.

"Ia kecederaan paha yang sudah dialami sebelum ini tetapi kami perlu melihat dulu. Diharapkan dia cergas minggu depan."

United dilihat bergelut untuk mengatasi Reading tetapi Solskjaer bertanggungjawab di atas persembahan longlai pasukannya apabila berkata keputusannya melakukan banyak pertukaran menjadi satu kesilapan.

"Saya harus katakan lawan memberi saingan sengit dan saya menjadikan ia sukar buat kami," tambah Solskjaer.

"Anda tahu apabila sembilan pertukaran dilakukan, sukar untuk pasukan beraksi bersama.

"Kami banyak belajar setiap hari. Kami tahu perlu melakukan beberapa usaha untuk kecergasan tetapi saya meletakkan pasukan yang tidak pernah beraksi bersama.

"Kami melangkah ke pusingan seterusnya dan ia bagus tetapi banyak perkara perlu diperbaiki.

"Kami tahu jika persembahan sama ditampilkan di Wembley ketika berdepan Spurs minggu depan, kami akan dibolosi dan gagal meraih mata," ujarnya.