Ole Gunnar Solskjaer menegaskan pemilihan Axel Tuanzebe sebagai kapten Manchester United bukan kerana ingin mengetepikan Paul Pogba.

Pertahanan berusia 21 tahun itu, yang bertindak sebagai ketua pasukan sepanjang beraksi dalam skuad remaja di Old Trafford, memakai lilitan kapten dalam aksi Piala EFL berdepan Rochdale.

United berjaya mengelak daripada penyingkiran memalukan selepas seri 1-1 dengan kelab Liga Satu itu, dengan hanya lolos ke pusingan 16 menerusi penentuan penalti 5-3.

Pogba mengharungi persembahan yang suram dan tumpuan diberikan kepada pemenang Piala Dunia itu, yang bertindak sebagai penolong kapten musim lalu, tidak dipilih untuk mengetuai The Red Devils untuk perlawanan semalam.

Tetapi Solskjaer, yang menyedari kehadiran pemain senior seperti Pogba dan penjaga gol, Sergio Romero, menegaskan ia merupakan peluang untuk Tuanzebe mendapatkan pendedahan beraksi di pentas yang tinggi.

"Tuanzebe adalah seorang kapten dalam pembikinan. Seorang pemimpin," katanya.

"Kami menyedari lilitan kapten itu boleh diberikan kepada Romero atau Pobga.

"Tetapi ia adalah ujian buat Tuanzebe dan dia melepasinya."

Penyerang muda, Mason Greenwood, antara pemain yang menyerlah sebelum meledak gol untuk United dan dijangka menjadi pilihan utama untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Arsenal dalam ketiadaan Marcus Rashford dan Anthony Martial yang masih diketepikan ekoran kecederaan.

"Beberapa pemain banyak menimba pengalaman dan membuktikan kebolehan mereka kepada kami.

"Greenwood sekali lagi beraksi cemerlang seperti yang telah kami jangkakan sebelum ini.

"Dia mampu menjaringkan gol dengan menggunakan kedua-dua belah kakinya. Dia pasti menjadi mimpi buruk buat pertahanan lawan.

"Kami akan memberikan masa untuk dia terus berkembang."