Ole Gunnar Solskjaer berkata dia tidak menyesal dengan tindakannya meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku pemain pemain simpanan ketika Manchester United terikat 1-1 dengan Everton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.

Pengurus The Red Devils itu melakukan lima pertukaran berbanding pasukan yang menewaskan Villarreal dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi Khamis lalu -- menang hasil jaringan saat-saat akhir Ronaldo.

Keputusan itu pada awalnya kelihatan akan membuahkan hasil apabila Anthony Martial, yang memulakan perlawanan buat kali pertama sejak Ogos lalu, menjaringkan gol pertamanya sejak Februari lalu untuk meletakkan United di depan.

Martial kemudian terpaksa dikeluarkan gara-gara kecederaan dan selepas 10 minit Solskjaer memasukkan Ronaldo dan Jadon Sancho, Everton menyamakan kedudukan melalui percubaan kedua Andros Townsend dalam perlawanan itu.

United tidak menemui cara untuk memenangi tiga mata dan bernasib baik dapat mengelakkan kekalahan apabila jaringan Yeryy Mina dibatalkan video bantuan pengadil (VAR), pada ketika mereka kini hanya memenangi dua daripada enam perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan.

Ronaldo jelas kelihatan kecewa dan terus menuju ke terowong pemain selepas wisel penamat tetapi Solskjaer, yang sejak awal menjelaskan mengenai kepenatan fizikal dan emosi pemainnya selepas kemenangan dalam perlawanan UCL itu, mempertahankan pemilihannya.

Ditanya sama ada dia menyesal tidak meletakkan Ronaldo dalam barisan permulaan perlawanan itu, Solskjaer berkata: "Tidak, anda membuat keputusan berdasarkan satu musim yang amat-amat panjang. Anda perlu menguruskan bebanan pemain dan bagi saya, keputusan itu adalah satu keputusan yang tepat.

"Anthony Martial melakukannya dengan amat baik, menjaringkan satu gol. Edinson (Cavani) memerlukan lebih minit dan hampir menjaringkan satu gol. Kami perlu membuat keputusan berdasarkan satu-satu masa."



United menguasai hampir 72 peratus permainan tetapi hanya dapat melakukan 13 percubaan dan kelihatan tidak berbahaya selepas Townsend menjaringkan gol penyamaan.

Solskjaer keccewa dengan cara pasukannya dibolosi menerusi serangan balas pantas selepas sepakan penjuru yang diambil mereka.

"Kami dibolosi gara-gara satu serangan balas yang menghukum kami dan kami kekurangan ketajaman untuk mendapatkan gol kedua yang amat penting.

"Kami membuat beberapa keputusan yang menghukum kami. Kami memiliki pemain di belakang bola ketika ia sampai dan kami sepatutnya menyudahkannya.

"Kami perlu memperbaikinya kerana kami akan berdepan lebih banyak lawan yang akan membenarkan kami untuk menguasai permainan," tambahnya.