Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward, mengulangi sokongannya terhadap Ole Gunnar Solskjaer dan projek jangka masa panjang yang diterapkan pengurus dari Norway itu.

Solskjaer menghampiri tempoh dua tahun pelantikannya yang bermula sebagai pengurus sementara sebelum mengesahkan jawatannya.

Khidmatnya semakin dipersoalkan berikutan kekalahan kepada Arsenal dan Istanbul Basaksehir bulan lalu, tetapi Woodward menjelaskan United akan terus setia dengan bekas penggempur berkenaan.

Woodward tetap berpuas hati dengan perkembangan The Red Devil di bawah asuhan Solskjaer sambil mengakui masih ada ruang yang perlu diperbaiki memandangkan United di tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini selain belum dapat menjamin slot pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) selepas mengharungi kempen tidak menentu dalam Kumpulan H.

Bertemu penyokong dalam forum maya pada hujung bulan lalu -- hanya mula dikongsi semalam -- Woodward berkata: "Apa yang terjadi di atas padang jelas sekali merupakan keutamaan kami.

"Tatkala ia tidak sama tanpa peminat stadium, kami telah mula nampak perkembangan menarik sejak pertemuan terakhir kami April lalu.

"Kami mengharungi 14 perlawanan tanpa kalah untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu di tangga ketiga selain mencatat kemenangan memberangsangkan ke atas PSG dan RB Leipzig bagi kempen UCL musim ini.

"Sudah tentu kami sedar masih ada banyak lagi kerja keras yang perlu dilakukan kami demi mencapai ketekalan menjulang gelaran.



"Namun, kami melihat petunjuk yang positif di atas padang dan tempat latihan jadi ia menguatkan keyakinan kami mengenai kemajuan kaedah yang telah diterapkan Ole terhadap barisan kejurulatih dan pemain."

United terlepas sasaran utama iaitu bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho, dalam pra-musim tetapi tetap memantapkan skuad itu dengan kehadiran Donny van de Beek, Alex Telles termasuk Edinson Cavani secara percuma.

Skuad The Red Devils turut mengikat Bruno Fernandes Januari lalu dan perancang Portugal itu terbukti memberikan pulangan berbaloi sejak dipancing dengan harga £47 juta (RM256.8j).

Begitupun, pasaran musim sejuk bukan mudah untuk pencabar mereka melepaskan pemain, sehubungan itu Woodward menganggap United tidak akan memberi tumpuan kepada jendela perpindahan yang akan dibuka bulan depan.

"Saya pernah memberitahu April lalu bahawa kami perlu terus komited untuk memperkasakan skuad ini dan dalam masa yang sama perlu berdisplin terhadap perbelanjaan sepanjang pandemik ini," katanya.

"Saya percaya kami mampu melakukannya dengan dibantu muka baru yang dibeli musim panas lalu yang menyaksikan kami berbelanja €200j (RM987j) sejak musim panas 2019 -- jumlah tertinggi dalam kalangan kelab besar Eropah.

"Kami akan terus memberi sokongan kepada perancangan Ole, pengambilan pemain baru untuk jangka masa panjang dan fokus kepada jendela perpindahan musim panas."

Woodward, yang juga ahli lembaga Persatuan Kelab Eropah, turut menafikan United berminat dengan idea menyertai sebuah liga yang hanya menempatkan kelab-kelab handalan.