Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku, mendedahkan analisis yang dilakukan oleh Ole Gunnar Solskjaer telah membantunya menemui semula rentak di Old Trafford.

Lukaku buntu dan hilang arah di bawah pimpinan Jose Mourinho yang dipecat bulan lalu, namun sudah menemui persembahan terbaiknya di bawah kendalian pengendali sementara, Solskjaer.

Pemain berusia 25 tahun itu -- hanya menjaringkan gol dua kali dalam tiga bulan terakhir ketika Mourinho membimbing pasukan -- meledak jaringan dalam dua perlawanan berturut-turut ketika meraih kemenangan ke atas Newcastle dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Reading dalam Piala FA.

Lukaku sedang memanfaatkan setiap pengalaman yang boleh diambil daripada Solskjaer dan pemain kebangsaan Belgium itu berkata, "Beliau bercakap dengan saya sepanjang masa dan saya amat gembira.

"Beliau bermain dengan corak yang sesuai dengan saya dan seluruh pasukan. Kami sedang menikmati bola sepak ketika ini.

"Banyak yang telah diajar oleh Solskjaer kerana beliau juga merupakan seorang penyerang. Sejak hari pertama saya kembali berlatih, beliau telah melakukan analisis dalam permainan saya. Ia telah membantu saya menemui semula corak permainan dan saya mahu terus bekerjasama dengan beliau.

"Beliau mahu saya sentiasa berhadapan dengan pintu gol lawan kerana beliau mengetahui kebolehan yang saya miliki," ujarnya lagi.