Ole Gunnar Solskjaer menyahut jangkaan tinggi terhadap Manchester United apabila kembali menumpukan perhatian kepada kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham.

United belum tewas dalam 28 perlawanan -- rekod terpanjang dalam sejarah EPL -- apabila hanya dibolosi 19 gol dalam proses itu.

Mereka juga memenangi dua pertemuan terakhir mereka dengan lawan sama yang bakal dihadapi Ahad ini tatkala memburu kemenangan ketiga berturut-turut menentang West Ham buat pertama kalinya sejak 2014.

Namun, selepas kalah mengejut 1-2 kepada Young Boys dalam Liga Juara-Juara (UCL) kelmarin, Solskjaer mengakui pasukannya perlu bangkit segera.

"Sudah tentu mereka fokus, sedikit kecewa tetapi tidak terlalu kecewa. Kami sedar itu adalah kemunduran dan kami harus melakukan yang lebih baik lagi dan kami mempunyai lima perlawanan lagi untuk mengutip 10 hingga 12 mata yang kami perlukan," kata Solskjaer kepada wartawan.

"Ini bukan satu permulaan yang kami mahukan tetapi kami adalah pasukan bagus yang mampu bangkit dan pemain-pemain juga sangat bagus."

Ditanya adakah reaksi media selepas perlawanan itu mengejutkannya, Solskjaer menjawab: "Tidak, ia tidak mengejutkan saya. Saya mempunyai kerja untuk dilakukan dan kami akan melaksanakan peranan kami. Media menilai berdasarkan permainan dan keputusan.

"Ia mengundang perdebatan tetapi kami turun dengan hasrat yang baik, kami membuat perubahan dengan tujuan yang baik, beraksi dan membuat hantaran dengan tujuan yang baik.

"Keputusan akan sentiasa menjadi penentu kepada tajuk utama dan sangat jarang perlawanan dinilai berdasarkan satu permainan yang mengagumkan, baik atau benar-benar buruk.

"Kami sedar dengan jangkaan tinggi dihadapi dan kami juga mengharapkan lebih banyak lagi, prestasi ini tidak seiring dengan tahap sebenar kami."





Tumpuan juga terarah kepada kemampuan Solskjaer selepas gagal mempertahankan kelebihan satu gol ketika menentang Young Boys sebaik Bruno Fernandes dan Cristiano Ronaldo dikeluarkan.

Namun, Solskjaer mengelak apabila disoal mengenai gaya atau falsafah pengurusannya, sebaliknya menegaskan keinginan United untuk membuktikan perbezaan di antara menang dan kalah musim ini.

"Saya tidak duduk di sini untuk menekankan tentang falsafah dan bercakap mengenainya. Bola sepak adalah permainan mudah dan ia mengenai meraih keputusan yang baik dan menjadi sebuah pasukan," sambungnya.

"Kadang-kadang kita melihat terlalu banyak -- keghairahan, kemahuan dan siapa yang ingin memenangi bola? Penyerang manakah yang mempunyai keinginan untuk menyambut hantaran?

"Anda boleh bercakap tentang macam-macam perkara, ia kelihatan bagus di atas kertas. Tetapi apabila turun ke padang, ia soal mengenai kemahuan untuk menang, itulah salah satu perkara utama. Anda mahukan pemenang dan saya rasa saya akan sampai di sana bersama pasukan saya, secara berpasukan."

Pengendali itu turut menjelaskan Edison Cavani akan kembali minggu depan berikutan masih dibelenggu kecederaan belakang badannya.