Ole Gunnar Solskjaer sedar Donny van de Beek tidak gembira dan kecewa dengan peluang terhad di Manchester United.

Pemain antarabangsa Belanda itu tiba dari Ajax musim lalu tetapi jarang menerima kesempatan di Old Trafford.

Van de Beek hanya diberikan 140 minit permainan musim ini -- 90 minit daripadanya ketika menentang West Ham dalam Piala Liga Inggeris (EFL) -- dan reaksi kecewa pemain tengah itu sempat dirakam televisyen dalam kemenangan ke atas Villarreal bulan lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu dilihat melemparkan persalinannya ke bangku simpanan sebaik Jesse Lingard dibawa masuk dari bangku simpanan.

Namun, ditanya mengenai insiden itu selepas kemenangan Atalanta semalam yang menyaksikan The Red Devils memadam defisit dua gol untuk menang 3-2, Solskjaer berseloroh bahawa tiada sebarang konflik di antara mereka sambil mengakui kekecewaan Van de Beek.

"Lebih baik membuang gula-gula getah anda daripada menelannya," kata Solskjaer kepada media Belanda, RTL7.

"Itulah yang kita belajar ketika kanak-kanak.

"Malah, untuk memberikan gula-gula getah anda kepada orang lain juga tidak tidak sesuai pada zaman COVID-19 ini. Ia masuk akal, jadi sebab itu saya masih boleh menerima kelakuannya itu.

"Donny masih bekerja keras, ketika ini dia berdepan tempoh sukar. Saya faham Donny kecewa tetapi dia perlu terus berusaha dengan senyuman lebar setiap hari.

"Saya tahu dia tidak gembira tetapi dia bekerja keras dan dia seorang yang amat profesional. Dia sedar begitulah keadaannya, kadang-kadang ia menjadi dalam bola sepak. Ketika ini dia tidak dturunkan tetapi dia harus tidak membiarkan dirinya diselubungi kekecewaan."






Rakan sepasukannya, Bruno Fernandes, mencipta lapan peluang -- jumlah terbanyak oleh pemain United dalam kancah Eropah sejak musim 2003-04 -- justeru Solskjaer menegaskan Van de Beek, yang sekali lagi memanaskan bangku simpanan harus bersabar menunggu peluang.

"Saya tidak dapat memasukkan setiap pemain," katanya lagi.

"Tetapi jika anda melihat pasukan kami, saya fikir prestasi kami sangat bagus. Dia berdepan saingan daripada beberapa pemain yang bagus.

"Dia perlu terus berlatih dengan baik dan saya seronok dia ada di sini. Saya berharap peluangnya akan tiba."