Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, menyamakan penyerangnya, Marcus Rashford, dengan bintang sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, ketika dia memuji kedua-dua pemain itu menjelang pertembungan pusingan 16 Liga Juara-juara Eropah di Old Tradfford, Selasa ini.

Semua mata akan tertumpu kepada Rashford dan Mbappe dalam perlawanan itu.

Rashford kini dalam prestasi terbaik sejak Solskjaer menggantikan Jose Mourinho, Disember lalu, dengan penyerang berusia 21 tahun itu telah menjaringkan enam gol dalam 10 penampilan terakhir.

Solskjaer, yang kontraknya akan tamat hujung musim ini, percaya Rashford merupakan jawapan buat United untuk menyaingi bintang berusia 20 tahun skuad juara dunia Perancis milik PSG, Mbappe.

"Marcus akan menjadi pemain dengan kualiti terbaik. Saya gemar untuk bekerjasama dengannya.

"Saya yakin PSG akan melihat Marcus seperti mana kami melihat Mbappe.

"Dia merupakan ancaman terbesar buat mereka.

"Mbappe meningkat untuk menjadi pemain bintang dengan gaya yang amat luar biasa.

"Dia membuatkan orang tersenyum, menunjukkan minat yang mendalam dan ia akan menjadi perbandingan yang jelas.

"Saya pernah melihat aksi Mbappe secara langsung sekali dan saya melihat Marcus setiap hari.

"Penyerang tidak perlu menguasai bola sepak, namun kedua-dua mereka itu akan menjadi tumpuan besar bagi 10 tahun mendatang.

"Mereka akan menyemarakkannya," katanya.

Tanpa kelibat Neymar serta Edinson Cavani dan Marco Verratti yang belum pasti dapat diturunkan, Mbappe kini menggalas tanggungjawab yang lebih besar ketika PSG menentang United.

Bercakap mengenai perlawanan itu, Solskjaer menambah: "Neymar amat-amat hebat dan penyokong kami pasti gembira untuk menyaksikan kelibatnya.

"Pemain-pemain kami pasti teruja untuk berdepan dengannya.

"Antara pemain terhebat yang saya pernah hadapi dulu adalah Zinedine Zidane, Ronaldo, Luis Figo dan Paolo Maldini.

"Anda perlu menguji diri untuk berdepan pemain-pemain hebat seperti itu.

"Itulah yang kami lakukan dulu dan saya percaya pemain saya akan gembira bertemu Neymar.

"Namun, kami akan berdepan dengan pasukan yang dipenuhi pemain terbaik dan kami juga perlu mengeluarkan yang terbaik untuk menentang mereka," tambahnya.