Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mengakui Eric Bailly tidak berada dalam keadaan yang baik selepas bek tengah itu mengalami kecederaan lutut sewaktu pasukannya menewaskan Tottenham Hotspur, semalam.

United mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas Spurs dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) susulan jaringan Angel Gomes di minit ke-80 tetapi situasi Bailly tetap memberi tamparan.

Bintang Ivory Coast itu hanya berada di atas padang selama 10 minit selepas dibawa masuk dalam babak kedua sebelum terpaksa meminta bantuan pasukan perubatan setelah cuba menghalang percubaan Son Heung-Min, yang berada dalam posisi ofsaid.

Bailly terpaksa diusung keluar sebelum didapati meggunakan tongkat sambil lutut kirinya berbalut, sekali gus meneruskan kecederaan yang sering dialami dalam tempoh dua tahun terakhir.

Solskjaer tidak dapat memberi sebarang perkembangan selepas aksi di Shanghai itu tetapi jelas risau dengan keadaan pemain berusia 25 tahun itu.

"Tidak bagus apabila mengalami kecederaan yang tidak berbaloi," ujar pengendali itu.

"Dia mengalami masalah dengan lututnya tetapi kami tidak tahu tahap kecederaan itu.

"Kami perlu menghantarnya pulang ke Manchester dan melakukan imbasan. Kami mengharapkan yang terbaik."

Dia juga menambah kepada MUTV: "Ia tidak nampak bagus tetapi lihat nanti perkembangannya."

United hangat dikaitkan dengan bek tengah Leicester City, Harry Maguire, yang dianggarkan bernilai GBP80 juta (RM410 juta) sejak beberapa minggu lalu dan Solskjaer ditanya sama ada kecederaan Bailly itu akan membuatkan kelab meningkatkan usaha untuk merombak barisan pertahanan.

Namun, dia dilihat yakin dengan pilihan yang dimilikinya ketika ini.

"Kami mempunyai enam bek tengah di sini," tambahnya.

"Phil Jones beraksi dalam tiga aksi pertama dan hari ini Marcos Rojo serta Chris Smalling meraih peluang.

"Kami tampak ampuh di benteng. Anda tidak akan gembira dengan kecederaan. Diharapkan yang terbaik untuk Bailly."