"Jika United memberikan persembahan yang serupa sewaktu menentang pasukan-pasukan yang lebih kuat, saya jamin mereka akan bolos sebanyak empat atau lima gol," ujar Paul Scholes sewaktu Manchester United menang tipis dengan skor 3-2 ke atas Atalanta beberapa hari lalu.

Semalam, ramalannya terbukti benar belaka. Dibelasah teruk oleh Liverpool dengan skor 5-0 di halaman sendiri, pada hari yang sama sepuluh tahun lalu di mana mereka dibedil dengan skor 6-1 oleh Manchester City.

Memalukan, juga menghiburkan, tergantung kepada penyokong pasukan manakah yang ditanyakan.

Di sebalik segala hilai tawa penyokong kesemua pasukan lain, satu persoalan yang tidak henti disebut-sebut sekarang adalah "Adakah tempoh Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus sudah tamat akhirnya?"

Dalam temu bual bersama stesen televisyen BBC, bekas penyerang Arsenal dan pasukan kebangsaan England, Ian Wright berkata, "Liverpool berjuta batu jauh lebih baik berbanding United dan saya yakin ini berpunca daripada cara mereka dilatih, tidak ada sebab lain. United pula saya lihat cacamarba dari segala aspek."

Kata-katanya ini disokong oleh bekas pemain pertahanan Manchester City, Micah Richards.

"Barisan pemain United ini tidak terurus sama sekali.

"Mereka ada ramai pemain hebat tetapi kesemuanya hanya memainkan peranan individu, bukannya bekerjasama sebagai satu pasukan.

"Selama ini, saya sentiasa mempertahankan Solskjaer tetapi hakikatnya sekarang, pasukannya memiliki kualiti yang serupa dengan pasukan-pasukan kuat lain, tetapi jika mereka tidak memberikan persembahan yang baik, siapa lagi yang harus kita salahkan jika bukan pengurus mereka sendiri?" ujar Richards.

Bahkan bekas pemain legenda United sendiri, Gary Neville, terpaksa menyatakan hakikat secara telus.

"Selepas ini, tekanan ke atas Solskjaer akan memuncak.

"Pihak lembaga kelab telah menaruh kepercayaan teguh kepada beliau, tetapi keputusan perlawanan seperti hari ini pastinya membuatkan mereka tertanya-tanya.

"Bukan perlawanan hari ini sahaja, tetapi lapan perlawanan sebelum ini juga adalah perlawanan yang teruk buat United, sebenarnya."

Dalam perlawanan semalam, United boleh dikatakan cuma memberikan saingan selama 15 minit.

Sewaktu mereka berjaya merempuhi barisan pemain tengah bertahan dan berada di hadapan empat pemain pertahanan Liverpool, mereka kelihatan seperti mampu melakukan percubaan berbahaya.

Tetapi apabila keajaiban tidak muncul daripada Cristiano Ronaldo, Bruno Fernandes atau Mason Greenwood, United kelihatan seperti budak-budak sekolah dalam menangani serangan balas Liverpool.

Benar, mereka tidak memiliki pemain tengah bertahan yang mantap seperti Fabinho dari Liverpool atau N'Golo Kante dari Chelsea manakala pemain pertahanan tengah terbaik mereka, Raphael Varane pula cedera.

Namun, jelas kelihatan daripada betapa longgarnya barisan pertahanan United sewaktu pihak lawan menguasai bola bahawa kesemuanya berpunca daripada masalah latihan dan taktikal.

Apa yang kita saksikan semalam sebenarnya adalah perkara yang sama terjadi sewaktu United menentang Leicester City minggu lalu.

Dalam perlawanan tersebut, Paul Pogba dan Nemanja Matic bertugas sebagai pasangan tengah bertahan, malangnya Pogba sememangnya tidak sesuai memainkan peranan tersebut manakala Matic pula tidak lagi memiliki stamina dan ketangkasan yang diperlukan. United bolos empat gol dalam perlawanan tersebut.

Sewaktu menentang Liverpool semalam, tugasan tersebut digalas oleh Fred dan Scott McTominay pula, namun perbezaannya langsung tidak ketara.

Soalan yang harus diajukan kepada pemain United, khasnya empat pemain di bahagian serangan, "Berapa banyak bantuan yang mereka berikan kepada pemain di bahagian tengah?"

Jawapan yang dilihat adalah, "Hanya sedikit sahaja." Disebabkan itulah pemain Liverpool yang ternyata jauh lebih bertenaga, bijak dan pantas berjaya merempuh masuk ke kawasan-kawasan berbahaya dengan sekadar rintangan minimum daripada pihak United.

Sebagai pengurus merangkap ketua jurulatih, perkara sebegini seharusnya diperbetulkan sebaik sahaja ia berlaku, namun ternyata Solskjaer tidak bertindak sedemikian.

Sepanjang perlawanan, Jurgen Klopp, pengurus Liverpool, tidak henti-henti melaungkan arahan dan memekik ke arah pemainnya, biarpun ketika mereka sudah menjaringkan gol kelima sekalipun.

Solskjaer pula kelihatan hanya mampu terduduk sambil tangannya diletakkan menghiasi kepala, tidak bermaya.

Liverpool jauh lebih maju berbanding United dalam setiap aspek. Pengurusan, latihan, taktik.

Klopp telah membentuk satu pasukan yang cukup ampuh dalam tempoh enam tahun lalu, dia juga telah memenangi Liga Juara-Juara Eropah serta menjulang trofi juara Liga Perdana.

Solskjaer masih belum meraih walau satu trofi pun. Jurang di antara kedua-dua pasukan ini terlalu besar.

Adakah ia sepatutnya begini? Seperti yang kita bincangkan dalam artikel-artikel lalu, tanpa seorang pengurus yang berkaliber tinggi, United akan tetap kekal di takuk lama dan menjadi pasukan yang sekadar mengharapkan keajaiban demi keajaiban setiap minggu, bukannya pasukan yang memiliki struktur utuh dan strategi bijaksana.

Sekiranya Solskjaer disingkirkan sekalipun, mencari seorang pengganti yang lebih baik daripadanya bukanlah satu tugas mudah juga. Satu-satunya pengurus yang 'menganggur' ketika ini adalah Antonio Conte, namun harga untuk mendapatkannya tidaklah murah, manakala kesemua jurulatih berkaliber yang lain nampaknya gembira dengan pasukan masing-masing.

Untuk United mencatatkan sebarang pencapaian memberangsangkan pada musim ini, Solskjaer haruslah mencipta keajaiban tersendiri dalam membentuk semula sistemnya dan melakukan rombakan taktikal menyeluruh, dengan harapan agar ia menjadi untuk memberikan nafas baru kepada pasukan.

Jika Solskjaer tidak lagi mampu meraih kepercayaan pihak lembaga atasan mahupun penyokong, perubahan pengurus baru wajarlah dilakukan pada kadar segera agar United tidak terus dirundung pilu sebegini saban minggu.