MAN UNITED 0 LIVERPOOL 0

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, memuji Marcus Rashford kerana meneruskan permainan sekalipun menanggung kecederaan buku lali sejak awal perlawanan ketika seri 0-0 dengan Liverpool, tengah malam tadi.


Rashford dikasari Jordan Henderson ketika 10 minit pembukaan dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford itu yang menyaksikan United boleh menggugat pemburuan kejuaraan liga oleh Liverpool.

Penyerang United itu pada awalnya sudah bersedia untuk digantikan sebelum kecederaan menimpa Ander Herrera, Juan Mata dan penggantinya, Jesse Lingard, dalam babak pertama, sekali gus memaksa Rashford meneruskannya aksinya.

Justeru, Solskjaer yang akur pasukannya tergelincir ke tangga kelima berikutan kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Southampton, percaya Rashford menjadi sasaran permainan keras Liverpool.

"Kami sangat bimbang (mengenai Rashford)," kata Solskjaer kepada Sky Sports.

"Begitupun, dia seorang pahlawan. Dia berasal dari Manchester dan dia tahu apa maksudnya. Kami perlu teruskan khidmatnya, kami sudah kehabisan slot pemain gantian!

"Kami kehilangan tiga pemain dalam babak pertama, kesemuanya kerana masalah hamstring dan kami sepatutnya mengeluarkan Marcus memandangkan dia yang mula-mula tercedera.

"Terjahan pertama ke atasnya agak keras. Henderson memijak pergelangan kakinya tetapi ia adalah salah satu daripada faul yang saya tidak faham mengapa ia dilakukan."

United berpeluang untuk bangkit apabila bertemu Crystal Palace Khamis ini, sebelum menyambut Southampton dan disusuli aksi getir menentang Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Bagaimanapun, Solskjaer menegaskan dia mempunyai pemain untuk mengatasi krisis kecederaan sambil mencadangkan akademi United mampu menjadi jalan penyelesaian.

"Kami kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan otot dan hamstring tetapi kami mempunyai beberapa pemain muda yang bagus," kata Solskjaer.

"Kami akan menurunkan 11 pemain Khamis nanti. Usah khuatir, kami mempunyai tempoh dua hari untuk pemulihan."