Ole Gunnar Solskjaer cuba menyinggung Liverpool menjelang pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford malam ini dengan memberi amaran kepada Manchester United bahawa musuh ketat mereka itu tidak boleh dibiarkan memenangi gelaran liga.

Liverpool tidak pernah memenangi gelaran berkenaan sejak era Liga Perdana diperkenalkan dan kejayaan terakhir mereka hadir pada 1990.

Dalam tempoh 29 tahun ini, The Reds masih mampu menjadi pencabar utama tetapi gagal untuk memecah kebuntuan dan terbaru ketika diatasi Manchester City pada 2014.

Sebaliknya, United menguasai liga sejak 1992 tetapi juara 13 kali itu belum pernah memenangi trofi berkenaan sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013.

Justeru, Solskjaer mengatakan United harus kembali di persada domestik dengan segera sambil mahu memastikan mereka tidak menganggap kedudukan di empat teratas sebagai satu kejayaan.

"Tahun ini Liverpool berada dalam perlumbaan kejuaraan, ia tidak perlu dipersoalkan lagi. Musim ini kelihatan bakal terjadinya penamat yang menarik," kata Solskjaer kepada wartawan.

"Sukar untuk memenangi liga di sini, mungkin ini adalah liga paling sukar untuk dimenangi memandangkan hanya lima atau enam pasukan yang pernah menjuarainya.

"Leicester (City) pernah melakukannya -- ia merupakan satu keajaiban -- sebelum ini Blackburn (Rovers) juga begitu, kemudian terdapat beberapa kelab besar yang memenanginya.

"Saya yakin Liverpool akan berasa lebih tertekan saban musim jika ia terus berlarutan tetapi kami perlu ingat bahawa kami sudah tidak memenangi gelaran liga selama beberapa tahun.

"Kami perlu kembali terlibat (merebut gelaran). Saya tidak mahu melihat kelab ini gembira berakhir dalam kalangan empat pasukan teratas.

"Jika anda menyasarkan terlalu rendah dan mencapai sasaran, maka itu lebih berbahaya berbanding meletakkan sasaran yang terlalu tinggi tetapi gagal dicapai."

United boleh memberi tamparan besar kepada peluang Liverpool kerana kemenangan mereka di Old Trafford malam ini akan membuka pintu kepada seteru setempat, City, yang berkongsi mata dengan pasukan kendalian Jurgen Klopp itu.

Solskjaer menegaskan bahawa dia hanya menumpukan kepada tiga mata, sama sekali bukannya membantu pasukan lain.

Beliau menambah: "Jadual pertembungan dengan Liverpool di Old Trafford sentiasa menjadi perlawanan pertama yang ingin anda ketahui. Setiap tahun ia tetap sama tetapi pertemuan kali ini lebih terasa kerana Liverpool berpeluang memenangi liga di samping City.

"Saya fikir seluruh penduduk Manchester akan menyokong kami tetapi kami sama sekali tidak akan cuba membantu mana-mana pasukan kecuali diri sendiri."