Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mendedahkan dia mahu memenangi piala bersama pasukan itu dan bukan hanya memburu kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris musim ini.

Solskjaer memaparkan permulaan luar biasa selaku pengendali The Red Devils dengan memenangi lapan perlawanan berturut-turut sejak menggantikan Jose Mourinho, bulan lalu.

Kecemerlangan itu menyaksikan United kini kembali menjadi pencabar kepada kelompok empat teratas liga dengan skuad kendalian Solskjaer itu hanya kekurangan tiga mata berbanding pasukan di tangga keempat, Chelsea.

Bagaimanapun, United masih bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA dan pengendali kelahiran Norway itu turut menyasarkan piala sebelum menamatkan musim ini.

"Kami masih bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA.

"Kami tidak boleh hanya menumpukan kepada kedudukan empat teratas liga.

"Kami perlu melihat adakah kami mampu untuk memenangi sesuatu musim ini.

"Saya melalui setiap perlawanan sebagai pengurus Manchester United dengan keyakinan kami mampu memenangi perlawanan itu," katanya.

Kejuaraan terakhir yang diraih United adalah ketika mereka menjuarai Liga Europa pada 2017 manakala mereka gagal menjuarai saingan liga sejak 2013.

Bagi Solskjaer, memenangi Liga Perdana Inggeris tetap menjadi sasaran utama United walaupun mereka kini ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu, Liverpool.

"Sebagai Manchester United, kami tidak sepatutnya menyasarkan kedudukan empat teratas.

"Kami sepatutnya meletakkan sasaran untuk menjuarai liga.

"Kami mungkin tidak dapat melakukannya musim ini, namun kami perlu terus mengimpikannya kerana kami perlu bangkit," tambahnya.

United dijangka akan meneruskan rekod cemerlang mereka di bawah Solskjaer ketika berdepan Burnley dalam saingan liga awal pagi nanti.