Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, memuji David de Gea sebagai 'penjaga gol terbaik dunia' berikutan aksi cemerlang ketika membantu pasukan mengatasi Villarreal dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL).

Cristiano Ronaldo meledak gol kemenangan pada minit ke-95 bagi membantu United bangkit untuk mengatasi Villarreal 2-1 di Old Trafford semalam.

United bernasib baik untuk mengekalkan kedudukan 0-0 selepas tamat separuh masa pertama -- De Gea menampilkan aksi terbaik dengan menafikan deretan peluang Villarreal.

Paco Alcacer berjaya mencari jalan menembusi De Gea dalam separuh masa kedua, tetapi Alex Telles berjaya mengikat jaringan sebelum Ronaldo memastikan kemenangan dalam masa kecederaan bagi memastikan United kekal dalam persaingan Kumpulan F berikutan kekalahan dalam perlawanan pertama.

Selepas mengharungi musim 2020-21 yang sukar, kritikan dalam aksi final Liga Europa kepada Villarreal dan keraguan terhadap masa depannya dengan kehadiran Dean Henderson di Theatre of Dreams, Solskjaer memuji De Gea.

"Permainan yang sangat sukar untuk menentang pasukan yang sangat baik. Separuh masa pertama, kami mengawal permainan, tetapi mereka kerap melakukan serangan balas dengan sangat baik, menyerang dengan cepat dan mencipta beberapa peluang," kata Solskjaer.

"Syukurlah, kami mempunyai penjaga gol terbaik dunia dalam perlawanan ini. David bermain cemerlang dan sangat gembira dengan persembahannya. Separuh masa kedua. Mereka mempunyai lebih banyak bola. Mereka bertindak cemerlang dan berjaya mendahului perlawanan.

"Tetapi anda mengetahui bahawa Old Trafford memiliki magisnya yang tersendiri, UCL, Old Trafford, kadang-kala sejarah membantu kami. Dan Cristiano [Ronaldo], berjaya meledak jaringan dan Alex [Telles] turut menghasilkan jaringan yang cukup cantik."

Mengenai De Gea, Solskjaer berkata, "Anda mungkin betul dia mengharungi saat sukar sebelum ini dan dia telah menyertai saingan Euro 2020 dan tidak terpilih untuk beraksi, tetapi dia bertekad untuk kembali dan saya sangat gembira dengan usahanya dan dia membuktikan kemampuannya sekali lagi."