Ole Gunnar Solskjaer enggan berbicara mengenai kemungkinan Manchester United menandatangani Harry Kane walaupun prestasi mengecewakan ketika seri 1-1 dengan Fulham.

Jaringan cemerlang Edinson Cavani pada minit ke-10 membenarkan United mendahului perlawanan ke atas lawan yang sudah tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namun kegagalan untuk mendominasi permainan menyaksikan Fulham bangkit dengan jaringan penyamaan yang disempurnakan oleh Joe Bryan, bermakna United kini tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan.

United kini telah bolos 28 gol di tempat sendiri dalam saingan EPL musim ini -- kali terakhir mereka dibolosi lebih di Old Trafford dalam satu musim adalah pada 1962-63 (38).

Skuad kendalian Solskjaer turut kehilangan 10 mata ketika mendahului di laman sendiri, bilangan paling banyak di Old Trafford dalam EPL musim ini.



Kane dilaporkan mahu meninggalkan Tottenham dan telah menjaringkan 22 gol liga musim ini,

Tetapi ditanya mengenai kemungkinan peluang mendapatkan khidmat bintang Spurs itu, Solskjaer memberitahu Sky Sports, "Saya tidak boleh bercakap mengenai pemain yang ada di pasukan lain. Saya rasa itu tidak menghormati pasukan lain, pemain lain. Saya tidak boleh bercakap mengenai perkara itu."

Mengenai persembahan United di hadapan 10.000 peminat yang kembali ke stadium, dia berkata: "Saya rasa kami tidak menunjukkan prestasi yang mereka mahukan dan mungkin selayaknya. Kami mempunyai beberapa peluang yang bagus tetapi tidak cukup.

"Kami beraksi tidak begitu mantap, kerap kehilangan bola, mungkin kerana orang ramai masuk dan kami ingin menghiburkan mereka, mungkin akan lebih menghiburkan jika kami bermain dengan betul dan menjaringkan gol.

"Kami hilang lapan mata dan perlu bangkit dalam perlawanan berikutnya, kami tidak sabar untuk perlawanan seterusnya, tidak sabar untuk final [Liga Europa]."