CRYSTAL PALACE 1 MANCHESTER UNITED 3

Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, memuji Romelu Lukaku kerana bijak memanfaatkan peluang walaupun jarang beraksi dalam kesebelasan utama ketika pemain itu menjaringkan dua gol bagi membantu pasukannya menewaskan Crystal Palace 3-1 di Selhurst Park, awal pagi tadi.


Sejak Solskjaer mengambil alih tempat Jose Mourinho, Lukaku kerap dibayangi aksi cemerlang Marcus Rashford.

Dengan Rashford kini sedang mengalami kecederaan susulan perlawanan menentang Liverpool, Ahad lalu, Solskjaer meletakkan Lukaku sebagai penyerang utama United dalam perlawanan menentang Palace dan penyerang Belgium itu memanfaatkan peluang tersebut untuk menjaringkan dua gol pertama United.

Ashley Young kemudian menjaringkan gol ketiga The Red Devils pada lewat permainan selepas Joel Ward cuba merapatkan jurang, namun Lukaku tidak lari daripada tumpuan Solskjaer sepanjang perlawanan.

"Lukaku memperoleh dua gol dan gaya hantarannya juga amat baik," kata Solskjaer.

"Dia berusaha keras sewaktu sesi latihan dan telah memaparkan aksi yang amat baik.

"Dia perlu bermain secara terbuka untuk saya dan dia turut berperanan sewaktu bertahan, jadi saya gembira untuk meletakkannya di posisi nombor sembilan.

"Amat baik untuk menyaksikan setiap pemain memanfaatkan peluang yang diberikan.

"Itu yang sepatutnya berada dalam kelab ini. Apabila anda diberikan perluang, anda perlu meraihnya," katanya.

Krisis kecederaan menyaksikan Scott McTominay memperoleh penampilan kedua secara berturut-turut dalam kesebelasan utama manakala Fred pula menyertai barisan itu buat kali pertama sejak sehari selepas Krismas.

Solskjaer turut memberikan penampilan pertama buat pemain tengah berusia 17 tahun, James Garner, pada penghujung aksi dan pengendali kelahiran Norway itu gembira kerana dapat menurunkan mereka selepas tidak dapat melakukannya sebelum ini.

"Ia merupakan kemenangan yang hebat. Kami menguasai permainan.

"Fred dan McTominay tidak dapat banyak peluang sebelum ini dan kami juga dapat menurunkan pemain muda meningkat naik, Garner.

"Dia berada dalam acuan untuk menjadi pemain terbaik, pemain tengah terbaik.

"Kita pasti akan menyaksikan aksinya lagi selepas ini.

"Ia adalah Manchester United, kami memiliki pemain yang berkualiti dan akan terus melahirkan pemain yang baik," katanya.

Bagi pengurus Palace, Roy Hodgson, dia berasakan United pasukan yang lebih layak menang, namun enggan barisan pemainnya terlalu menyalahkan diri mereka.

"Kami akhirnya tewas di penghujung perlawanan. Saya memuji pemain kami kerana tidak mengalah sebaik ketinggalan 0-2 dan beraksi dengan agak baik.

"Ketika kedudukan 1-2, kami terus beraksi dengan harapan yang tinggi, namun kami terperangkap dengan serangan balas mereka.

"Kami tidak cukup baik untuk memenangi sesuatu dalam perlawanan ini.

"Tiada apa untuk dirisaukan dan diperkatakan," katanya.