Manchester United melengkapkan perpindahan pemain sayap muda, Ahmad Diallo, daripada Atalanta dan pengurus pasukan itu, Ole Gunnar Solskjaer, berpandangan bahawa dia sudah didatangkan dengan sorang bintang masa depan kelab berkenaan.

Diallo menandatangani kontrak empat setengah tahun yang akan mengikatnya bersama pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sehingga 2025.

United sudah mula memburu Diallo sejak 2016 dan pemain berusia 18 tahun itu telah melakukan penampilan dalam Serie A dengan beraksi sebanyak lima kali bersama skuad utama Atalanta selain menghasilkan satu gol.

Kesepakatan itu telah dipersetujui sejak Oktober lalu dan kini permit kerja pemain itu telah diluluskan yang membenarkan perpindahan itu dilakukan.

United berkata dalam satu kenyataan bahawa Diallo akan menyertai mereka sebaik menerima visanya.


Terdapat laporan mendedahkan perpindahan itu menelan belanja £37 juta (RM202.8 juta) tetapi Solsksjaer percaya mereka telah mendapatkan seorang pemain berbakat yang amat langka.

Solskjaer berkata: "Sebagai sebuah kelab, kami sudah mengikut perkembangan Amad sejak beberapa tahun ini dan melihatnya beraksi secara peribadi, saya percaya dia merupakan salah seorang bakat muda yang amat menarik dalam permainan ini.

"Manchester United mempunyai sejarah dalam mengembangkan pemain muda dan segala-galanya sudah tersedia untuk Amad mencapai potensinya di sini.

"Saya akan memberikannya masa untuk menyesuaikan diri tetapi kepantasan, visi dan kemampuan gelecekannya yang luar biasa akan membantunya untuk menghadapi peralihan itu. Dia seorang pemain dengan sifat semula jadi yang diperlukan untuk menjadi pemain penting buat Manchester United bagi tahun-tahun mendatang," katanya.

Diallo juga gembira dengan peluang besarnya di United sambil berkata: "Selepas menantikannya sejak musim panas lalu, akhirnya impian saya menjadi kenyataan untuk melengkapkan perpindahan ke Manchester United.
"Saya amat bercita-cita besar dan terdapat banyak perkara yang saya mahu capai dalam permainan ini; apabila saya bercakap dengan pengurus kami, saya sedar bahawa saya telah menyertai kelab yang sempurna.

"Ini benar-benar skuad yang menarik dengan ramai pemain yang hebat, saya boleh berjanji bahawa saya akan berusaha keras setiap hari untuk belajar dan memberikan segala-galanya dalam pembentukan permainan saya. Jurulatih di sini amat hebat sejak saya menyertainya, kami sentiasa berhubung dan mereka sudahpun memberikan saya banyak saranan yang hebat.

"Saya mempunyai masa untuk bersedia bagi perpindahan ini daripada segi mental dan fizikal, dan saya telah berusaha dengan amat gigih untuk bersedia menyertai kelab yang amat luar biasa ini," katanya.