Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, memberikan penghormatan buat Peter Whittingham selepas bekas pemain tengah Cardiff City itu meninggal dunia pada usia 35 tahun.

Semalam, Cardiff mengesahkan Whittingham telah meninggal dunia selepas dilaporkan mengalami kecederaan di kepala kerana terjatuh, minggu lalu.

Whittingham pernah menyarung jersi Aston Villa, Burnley, Derby County dan Blackburn Rovers sepanjang 15 tahun karier tetapi lebih diingati di Cardiff.

Solskjaer -- yang bekerjasama dengan bekas produk akademi Aston Villa itu selama sembilan bulan di selatan Wales, berkata: "Saya sangat sedih apabila mendengar berita kematiannya.

"Whittingham adalah pemain bola sepak serta insan yang bagus. Saya menikmati tempoh bekerjasama dengannya sewaktu di Cardiff.

"Sukar untuk percaya dia telah meninggal dunia pada usia yang muda. Whittingham akan dirindui dan kami mengucapkan takziah buat keluarganya."

Whittingham dua kali bergelar Pemain Terbaik Tahunan Cardiff dan dinamakan dalam Pasukan Dekad Terbaik Liga Bolasepak pada 2005-2015.

Bintang Arsenal, Aaron Ramsey, memulakan kariernya bersama kelab Wales itu dan turut memberikan penghormatan buat bekas rakan sepasukannya itu.

"Saya akan sentiasa bersyukur dengan tempoh bersama anda," katanya.

"Anda merupakan salah seorang pemain paling berbakat dan penuh teknikal yang pernah saya beraksi bersama dan kaki kiri anda seperti sesuatu yang ajaib.

"Saya bangga pernah bermain bersama anda dan akan sentiasa mengingati aksi melibatkan pemain muda dan senior, meyaksikan anda menampilkan aksi memukau.

"Ucapan takziah saya untuk seluruh keluarga anda, moga tenang di sana Whittingham."