Ole Gunnar Solskjaer berhak mendapat pujian kerana membuat "peningkatan besar" di Manchester United ketika dia menghampiri ulang tahun ketiganya, kata Bruno Fernandes.

Pengurus United, Solskjaer kekal di bawah tekanan hebat menjelang perlawanan derby Manchester dalam saingan Liga Perdana Inggeris malam ini bertemu City berikutan permulaan yang kurang memberangsangkan untuk musim penuh ketiganya sebagai pengurus.

The Red Devils telah memenangi hanya separuh daripada 10 perlawanan pembukaan liga, rekod yang turut merangkumi kekalahan 5-0 di tempat sendiri kepada Liverpool dalam perlawanan terbaru mereka di Old Trafford.

Keputusan seri 2-2 dengan Atalanta dalam Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu tidak menghilangkan tekanan terhadap Solskjaer, yang masih belum memenangi sebarang trofi sejak pelantikannya pada Disember 2018.

Tetapi Fernandes -- dibawa ke United pada Januari 2020 -- menegaskan pemain juga harus dipersalahkan jika gagal memperoleh keputusan.

"Dia membawa saya ke sini, dia memberi saya peluang untuk bermain di kelab yang menakjubkan ini, dia membuat impian saya menjadi kenyataan," kata Fernandes kepada Sky Sports. "Dia seorang yang hebat dan semua orang mengetahuinya.

"Biasalah orang marah sebab keputusan tidak menyebelahi United namun terlalu mudah nak menyalahkan jurulatih sahaja. Kami yang berada di padang, kami harus melakukan yang lebih baik.

"Kita boleh katakan sistem itu tidak cukup baik, tetapi kami bermain 4-2-3-1 selama tiga tahun. Kami sampai ke beberapa perlawanan akhir, yang kami tidak menang, saya faham itu, tetapi kami mendapat tempat kedua musim lalu dan tiada siapa menjangka kami akan menjalani musim sebaik yang kami lakukan.

"Ia tidak sebaik yang kita mahukan, tetapi ia adalah musim yang baik secara keseluruhan selepas apa yang difikirkan oleh semua orang.

"Jika kami tidak kehilangan mata itu pada Januari, Februari, kami mungkin lebih rapat dengan City. Terdapat peningkatan besar dalam pasukan, peningkatan besar dalam kelab sejak dia tiba, dan saya berpendapat dia patut dipuji.

"Saya fikir dia mampu melakukan lebih banyak lagi dan kami sebagai sebuah pasukan mampu melakukan lebih banyak lagi. Itu tidak bergantung hanya kepada jurulatih. Kami perlu cuba membantunya kerana dia cuba membantu kami."