Ole Gunnar Solskjaer mengakui dia "telah membuat beberapa keputusan buruk" ketika Manchester United tumbang 2-4 kepada Leicester City di Stadium King Power, tengah malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan rekod The Red Devils dalam 29 perlawanan tanpa kalah Liga Perdana Inggeris (EPL) berkecai selain hanya memungut satu mata daripada tiga perlawanan terakhir liga.

Pasukan bimbingan Solskjaer itu berhasil memimpin perlawanan sebelum mula goyah dan melepaskan gol ketiga kurang dari seminit selepas menyamakan kedudukan lagi sebelum gol pada masa kecederaan menjulang The Foxes.

Pengurus dari Norway itu tidak senang dengan cara pintu gol mereka dirobek, tetapi dia sedia bertanggungjawab atas keputusan berkenaan yang menyaksikan hanya United menang sekali dengan tiga kekalahan dalam lima perlawanan terakhir.

"Empat gol yang kami bolosi semuanya sangat buruk," katanya kepada Sky Sports.

"Kami tidak layak mempertahankan rekod tanpa kalah. Persembahan kami tidak cukup baik.

"Kami mendapat gol yang sangat menarik menerusi Mason Greenwood dan memiliki beberapa peluang lagi. Tetapi kami mula goyah dan melepaskan gol. Ia mengenai sentuhan penyudah dan kami mencipta lebih banyak peluang. Dua gol daripada gol yang dilepaskan sangat mengecewakan, kemudian jaringan penyamaan Leicester beberapa saat selepas kami menyamakan kedudukan yang tidak seharusnya berlaku (gol Jamie Vardy).

"Saya memilih pasukan dan Harry Maguire tidak menunjukkan reaksi terhadap kecederaannya. Saya mengangkat tangan jika ia tidak berjaya dan saya mungkin telah membuat beberapa keputusan buruk.

"Akhir-akhir ini, kami tidak berada dalam keadaan hebat dan kehilangan banyak mata. Sesuatu mungkin harus berubah. Adakah kami memerlukan lebih banyak kesegaran? Apa yang kami perlukan? Itu yang harus kami betul-betul kaji. Perkara Yang positifnya adalah Marcus Rashford sudah kembali. Dia membawa kesegaran dan ketajaman penyudahnya adalah satu bonus besar.

"Saya mempunyai ramai pemain yang bagus dan setiap perlawanan adalah berbeza. Saya tidak akan mencipta alasan atas pasukan yang saya bentuk yang sarat dengan pemain handalan dan keputusan ini tidak cukup bagus."






Walaupun anak buahnya tampil dengan prestasi buruk, Solskjaer menegaskan dia tidak tertekan dan yakin mereka mempunyai kemampuan untuk meningkat di bawah bimbingannya.

"Setiap kali anda kalah, tentu saja tekanan akan meningkat tetapi kami sudah terbiasa hidup dengan tekanan seperti ini," katanya kepada BBC.

"Kami adalah Man United; kemunduran pernah terjadi dengan persembahan yang lebih buruk, kami harus bangkit Rabu depan (awal pagi Khamis). Saya akan melaksanakan tugas ini sebaik mungkin; saya menaruh kepercayaan kepada pasukan ini."

Peluang pertama United untuk memperbaiki masalah mereka muncul ketika mereka menjadi tuan rumah pasukan Serie A, Atalanta, dalam kempen Liga Juara-Juara minggu depan.