Santiago Solari berkata Real Madrid terlepas peluang untuk meraih kemenangan ke atas Villareal awal pagi tadi akibat kehilangan Gareth Bale yang mengalami kecederaan untuk sekadar mencatat keputusan seri 2-2.

Madrid bangkit untuk mendahului dalam aksi di Stadium De La Ceramica itu apabila Karim Benzema dan Raphael Varane memadamkan jaringan pembukaan lawan daripada Santi Cazorla.

Bale bergelut untuk memberikan impak dalam babak pertama dan terpaksa digantikan selepas rehat akibat kecederaan betis selepas terjatuh akibat halangan daripada Javi Fuego pada minit ke-38.

Kemasukan Isco gagal membantu Los Blancos untuk menyekat gol lewat permainan daripada Cazorla yang menyaksikan rentetan tiga kemenangan Madrid dengan dalam saingan liga berakhir.

Pengendali Los Blancos, Solari, berpendapat ketiadaan Bale menjadi faktor utama kepada ketidakseimbangan dalam pasukan sehingga membenarkan gol penyamaan daripada Cazorla.

"Kami hampir meraih kemenangan dan mahu menamatkan perlawanan. Namun, lawan bangkit dan menyamakan kedudukan," ujar Solari.

"Mereka memberikan banyak tekanan, beraksi di laman sendiri dan memerlukan mata.

"Ketiadaan Bale menyukarkan kami. Dia berdepan masalah dan kami kekurangan sesuatu dalam serangan balas kerana Bale sangat bagus dalam corak permainan itu. Anda dapat lihat ia berlaku apabila Bale mengalami perlanggaran dan tidak mampu meneruskan perlawanan."

Luka Modric merupakan seorang lagi pemain yang meninggalkan padang lebih awal, hanya bertahan selama sejam sebelum digantikan oleh pemain tengah muda, Federico Valverde.

Selepas perlawanan, Solari menjelaskan bahawa Modric tidak cergas sepenuhnya dan dia merancang untuk mengeluarkan pemenang Ballon d'Or itu.

"Modric sedang pulih daripada demam tetapi tetap memberikan segalanya buat kami," tambah Solari.

"Saya gembira menerima 60 atau 65 minit daripadanya dan Valverde memberikan kami tenaga serta kawalan apabila masuk ke padang. Kami gembira dengan barisan pemain muda yang kami miliki."

Kegagalan Madrid awal pagi tadi bermakna mereka hanya meraih tiga kemenangan dalam sembilan kunjungan ke tempat lawan bagi saingan LaLiga musim ini tatkala Los Blancos kini menduduki tangga keempat, tujuh mata di belakang pendahulu, Barcelona.

"Saya tidak rasa ia tentang kekurangan kawalan tetapi lebih kepada serangan balas dan masalah yang berlaku dalam babak kedua," kata Solari.

"Kami mempunyai dua peluang terbuka untuk gol ketiga menerusi Lucas Vazquez dan Marcelo tetapi jelas sekali kami kurang tajam dan Bale memiliki sentuhan penyudah itu."