Portugal memiliki kelebihan apabila bertemu Uruguay yang dipenuhi ramai bakat di jentera serangan berkat kecemerlangan Cristiano Ronaldo, kata Cedric Soares.

Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam pusingan 16 Piala Dunia 2018 di Sochi, awal pagi Ahad ini, dengan hanya Uruguay di samping Croatia muncul dengan rekod 100 peratus kemenangan dalam kalangan enam kumpulan dalam temasya Russia 2018.

Keampuhan La Celeste bersandarkan kepada gandingan Luis Suarez dan Edinson Cavani di barisan depan manakala pasangan Atletico Madrid, Diego Godin dan Jose Gimenez, perlu bersiap untuk menghadapi seteru yang biasa mereka tangani.

"Mereka mempunyai pemain yang hebat seperti kami tetapi kami mempunyai pemain terbaik di dunia," kata Soares kepada FIFA.com, merujuk kepada Ronaldo yang akan menyamai rekod bekas kapten Jerman, Bastian Schweinsteiger, yang membuat 38 penampilan dalam pusingan akhir Piala Dunia dan Kejohanan Euro.

"Kami akan mengkaji mereka, mereka merupakan pasukan yang mantap tetapi kami juga mempunyai kualiti dan kami akan cuba memenangi perlawanan," katanya.

Ronaldo memulakan kempen di Russia dengan rentak luar biasa, dengan melepaskan sepakan percuma yang menakjubkan untuk menyempurnakan hatrik ketika seri 3-3 menentang Sepanyol di Stadium Fisht.

Menjelang kunjungan semula ke teluk Laut Hitam, persembahan membosankan ketika ditampilkan dalam Euro 2016 kembali ditonjolkan yang menyaksikan Ronaldo memberi Portugal gol pendahuluan awal ketika menentang Maghribi sebelum mereka memerlukan jaringan Ricardo Quaresma untuk mengikat Iran 1-1.

Sebaliknya, Uruguay semakin menemui rentak susulan menampilkan aksi kurang meyakinkan pada awalnya. Gimenez dan Suarez masing-masing bertanggungjawab dalam kemenangan 1-0 ke atas Mesir dan Arab Saudi, sebelum penggempur Barcelona berkenaan serta Cavani menemui sasaran ketika membelasah tuan rumah, Russia, 3-0.

"Kami akan menghadapi pasukan yang sangat mantap dan handal," kata pemain tengah Inter Milan, Matias Vecino, yang telah memulakan setiap perlawanan dalam temasya Russia 2018 setakat ini kepada FIFA.com

"Perlawanan ini akan ditentukan menerusi perincian dan kami akan cuba untuk mengehadkan penyerang mereka."

Pertahanan Portugal, Raphael Guerreiro, pemain sayap, Gelson Martins, dan pemain tengah, William Carvalho, merungut mengenai masalah kecil di bahagian otot semasa sesi latihan hari ini.

Gimenez kembali menyertai latihan bersama rakan sepasukan selepas dilanda kecederaan paha yang mengetepikannya bertemu Russia.


PEMAIN TUMPUAN:

Uruguay: Luis Suarez


Suarez mengecewakan dalam perlawanan pembukaan menentang Mesir tetapi nampaknya semakin menemui sentuhan berbisa pada masa yang tepat -- dia menghindari sebarang kontroversi Piala Dunia setakat ini susulan insiden menampan bola dengan tangan pada edisi 2010 dan menggigit lawan pada edisi 2014.

Portugal: Cristiano Ronaldo

Penggerak dan inspirasi untuk anak buah Fernando Santos, Ronaldo mempamerkan prestasi memukau di peringkat awal tetapi gagal dalam tugasan penalti ketika berdepan Iran. Bagaimanapun, dia dijangka kembali di landasan prestasi terbaik.