Selepas berakhirnya pesta keraian Malaysia layak secara merit ke Piala Asia, fokus kini ke arah keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang mencetuskan kontroversi dan persoalan sepanjang pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Stadium Nasional Bukit Jalil bergema semalam dengan lebih 53,000 hadir menyaksikan Malaysia membelasah Bangladesh sekaligus layak ke Piala Asia 2023.

Rungutan berkenaan padang sudah tidak didengar dalam media sosial ditambah pula dengan cuaca panas terik semalam membantu memulihkan keadaan padang.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam menyatakan SNBJ akan ditutup untuk kerja-kerja membaik pulih bermula hari ini, pada asalnya, perancangan untuk menutup padang adalah pada Mac tahun depan.

Tetapi setelah melihat keadaan padang yang teruk Sabtu ketika bertemu Bahrain, ia dipercepatkan.

Stadium Nasional Bukit Jalil mula digunakan semula pada final Piala Malaysia 2021 antara Kuala Lumpur City dan Johor Darul Ta'zim pada Disember lalu selepas pandemik COVID-19.