URUGUAY 1 BRAZIL 4

Paulinho tanpa disangka-sangka muncul penjaring hatrik tatkala Neymar menjadi watak utama ketika Brazil melebarkan kemenangan mereka untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan (CONMEBOL) dengan kemenangan 4-1 ke atas Uruguay, pagi ini.


Uruguay dan Brazil turun beraksi tanpa penyerang handalan mereka untuk perlawanan 'blockbuster' yang berlangsung di Estadio Centenario itu, selepas seri 2-2 di Recife, tahun lalu.

Penjaring terbanyak Uruguay, Luis Suarez, terlepas perlawanan itu kerana penggantungan, dengan Cavani menjadi taruhan utama buat tuan rumah sambil dibantu oleh Diego Rolan.

Penjaga gol berpengalaman, Fernando Muslera, juga digantung dan tempatnya digantikan dengan Martin Silva.

Dalam prestasi terumbang-ambing Brazil dalam beberapa tahun kebelakangan ini, gergasi Amerika Selatan itu pula kehilangan khidmat bintang berusia 19 tahun, Gabriel Jesus, akibat kecederaan.

Untuk itu, Roberto Firmino memainkan peranan di bahagian hadapan ketika mereka memburu kemenangan keenam berturut-turut.

Dalam pertembungan tangga teratas di Montevideo itu, Brazil menampilkan aksi bergaya hasil ledakan hatrik bekas pemain tengah Tottenham Hotspur, Paulinho, dan bola lambungan Neymar.

Biarpun Edinson Cavani membuka jaringan menerusi sepakan penalti seawal minit kesembilan -- untuk gol antarabangsanya yang ke-40 -- Paulinho menyamakan kedudukan menerusi rembatan jarak jauh menakjubkan, 10 minit kemudian, sebelum meletakkan Brazil di hadapan, tujuh minit selepas babak kedua.

Sentuhan Neymar, 16 minit menuju waktu penamat menjadikan kedudukan 3-1 dan Paulinho mengesahkan mata penuh dalam masa kecederaan untuk Brazil meleburkan rekod 14 perlawanan tanpa kalah Uruguay di tempat sendiri dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia -- sejak 2009 -- sementara kemenangan itu adalah yang kelapan berturut-turut skuad Samba itu di bawah ketua jurulatih, Tite.

Brazil kini tujuh mata di hadapan pencabar terdekat, Uruguay, selepas 13 perlawanan dalam kempen CONMEBOL menuju ke Russia 2018.