"Persembahan terburuk," itu sahaja kesimpulan yang boleh dirumuskan mengenai prestasi skuad bawah 22 tahun negara yang dimalukan 3-0 oleh Vietnam dalam aksi persahabatan di Stadium Thong Nhat, semalam.

Jika ini sahaja yang mampu ditawarkan skuad kendalian Frank Bernhardt, penyokong bola sepak tanah air mungkin sudah boleh melupakan impian untuk melihat ibu segala pingat mampu digenggam dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos ini.

Bahkan mungkin tidak mampu melepasi peringkat kumpulan pun.

Bukan sahaja tewas dalam aspek kepantasan dan persefahaman, malah tiada langsung percubaan tepat yang mampu dilakukan ke arah gawang Vietnam.

Bernhardt juga terpaksa mengakui bahawa itu sahaja mampu diberikan pemainnya ekoran kesuntukan masa untuk melakukan latihan bersama.

"Masalahnya adalah kami tidak dapat mengadakan kem latihan satu atau dua minggu sebelum perlawanan," katanya.

"Kami dapat mengumpul pemain sejurus selepas perlawanan liga dan sebahagian mereka datang terus ke lapangan terbang."

Bagi jurulatih Vietnam, Nguyen Huu Thang, dia tidak terlalu bangga di atas kejayaan itu kerana berasakan skuad negara tidak menurunkan barisan terbaik.

Bagaimanapun, Huu Thang berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan pemainnya sambil berasakan mereka mampu menang dengan angka jaringan lebih besar jika banyak peluang tidak disia-siakan.

"Saya rasa tidak adil untuk katakan ini adalah aksi sebenar Malaysia kerana difahamkan mereka kehilangan enam pemain utama.

"Pemain mereka ramai yang tampak keletihan. Apa-apapun pasukan saya beraksi begitu cemerlang pada hari ini (semalam)," katanya.