"Skuad Harimau Malaya banyak perubahan positif ," itu pengakuan Abdul Barsith Muhiseen sebagai individu 'belakang tabir' skuad Sri Lanka menjelang pertemuan dengan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Abdul Barsith kembali ke Malaysia sejak meninggalkan negara ini pada 2010.

Bertugas sebagai fisioterapi skuad Sri Lanka, dia pernah berkhidmat dengan KL Plus FC selama beberapa tahun.

Dia mengenali rapat beberapa pemain tempatan, sekali gus menganggap aksi esok memberi nilai sentimental walaupun sekadar dari belakang tabir.

"Skuad Malaysia semakin meningkat dan kini di tahap yang lebih tinggi. Perkara itu adalah baik untuk mereka," katanya.

Selain pertemuan yang mengimbau kenangannya, ahli fisioterapi berusia 37 tahun itu turut berkongsi mengenai kehadiran pasukannya kali ini.

Dia mendedahkan semangat pemain tinggi berdepan Harimau Malaya setelah berjaya menghadirkan tentangan sengit kepada Korea Utara dalam aksi kelayakan terdahulu.

"Sri Lanka telah mempamerkan aksi cemerlang ketika bertemu Korea Utara dan mahu menampilkan aksi yang hampir sama ketika berdepan Malaysia."