Gandingan dua penyerang import Pahang, Patrick Cruz dan Francis Forkey Doe, dijangka terus menjadi igauan buruk buat setiap pertahanan lawan musim ini selepas mereka menjadi senjata utama Pahang ketika menang 4-0 ke atas Negeri Sembilan, malam tadi.

Taktikal pengendali, Dollah Salleh, yang mengetengahkan formasi 4-4-2 nyata bersesuaian buat Cruz dan Forkey Doe yang mencetuskan kesukaran besar kepada pertahanan skuad Hoben Jang Hoben itu.

Dengan kelicikan Mohamadou Sumareh dan Chan Vanthanaka di bahagian sayap, kedua-dua pemain itu menerima umpanan sempurna bagi mendapatkan jaringan.

Cruz sudah meledak tiga gol setakat ini sementara Forkey Doe menjadi penjaring terbanyak Tok Gajah dengan lima gol.

"Kami berkomunikasi baik.

"Kami berlatih untuk melakukan gerakan agar kami boleh bermain baik.

"Ini adalah perlawanan kedua saya dan saya percaya boleh digandingkan dengan mana-mana pemain. Kami boleh mempamerkan aksi lebih baik," kata Cruz dari Brazil.

Dollah menjelaskan dia sudah membuat kerja rumah terperinci tentang corak yang diamalkan lawan ketika berdepan Kedah dalam pusingan kedua Piala FA tempoh hari.

Perancangannya melakukan banyak serangan dari sebelah tepi nyata menjadi kerana sukar buat pertahanan lawan mengekang pergerakan pemain sayap Pahang.

"Saya memberi penekanan, kalau lawan padat di bahagian tengah, kami perlu bermain di bahagian sayap.

"Sebab itu, kami banyak membuat hantaran lintang. Nampaknya, kedua-dua pemain ini (Cruz dan Forkey Doe) banyak menyokong di jentera serangan," katanya.

Dalam masa sama, Azraai Khor Abdullah memberi bayangan rombakan pemain, terutama tenaga import pada jendela kedua perpindahan pemain, Mei depan.

Antara pemain dalam penilaiannya ialah bekas pemain antarabangsa Korea Selatan, Kim Do Heon, yang difahamkan tidak lagi menjadi ketua pasukan dan sekadar berada di bangku simpanan di Stadium Darulmakmur.

"Apa sekalipun, kami sedang membuat penilaian.

"Kita boleh nampak beza di antara dua pasukan ini. Kami mahu menampung kelajuan perlawanan. Kalau boleh, kami mahu menggunakan (pemain import) untuk melancarkan hantaran," kata Azraai.

Sementara itu, kapten Negeri Sembilan, Fauzan Dzulkifli, meluahkan: "Pemain import kami jauh berbeza dengan Pahang.

"Kami perlu terima hakikat bahawa pemain import kami tidak mambantu.

"Sesiapa yang bermain, terutama pemain tempatan, mereka perlu ambil tanggungjawab."