Selepas menamatkan kempen Kejohanan AFF, skuad B-18 negara kini mempunyai misi baru, iaitu mahu melayakkan diri ke Kejohanan AFC B-19 di Jakarta tahun depan.

Sekalipun gagal menamatkan badi ke atas Thailand apabila tumpas 2-0 dalam perlawanan akhir kelmarin, jurulatih negara, Bojan Hodak, melihat banyak perkara positif berlaku sepanjang kejohanan di Yangon, Myanmar itu.

Selain perubahan taktikal yang berkesan, Hodak juga dilihat bijak memilih pemain yang dihimpun kurang tiga minggu sebelum kejohanan berlangsung.

"Kini mereka akan kembali ke kelab kerana mereka akan bermain dalam suku akhir Piala Presiden. Selepas ini, saya akan memanggil mereka semula bulan depan untuk pemain yang tewas dalam suku akhir itu.

"Ia adalah persiapan untuk berdepan Korea Selatan," katanya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Ramuan sama akan dikekalkan apabila skuad negara bakal beraksi dalam kelayakan Kejohanan AFC di Korea Selatan, bulan depan.

Selain diundi bertemu tuan rumah, Malaysia juga akan bersaing dengan Indonesia, Brunei dan Timor Leste dalam Kumpulan F.

"Saya berharap kami dapat dipanggil lebih awal bagi mendapatkan keserasian. Kami akan buat yang terbaik di Korea nanti," kata pemain negara, Muhd Akhyar Rashid.

"Kami boleh membentuk pasukan dalam masa yang pendek. Saya percaya kalau diberi lebih masa, pasukan negara akan lebih bagus," kata Muhd Hadi Fayyadh Abdul Razak.