Penyerang import Melaka United, Ilija Spasojevic, ditagih untuk mengekalkan ketajaman penyudah bagi pertemuan Liga Super menentang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT), di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.

Spasojevic tampak sudah menemui sentuhannya selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu sejak awal musim ini. Ia susulan aksi cemerlangnya meledak dua gol ketika skuad Melaka seri 2-2 dengan PKNS FC, minggu lalu.

Pengendalinya, Eric Williams, mengakui penjaring terbanyak Liga Perdana 2016 itu menjadi harapan utamanya untuk misi merobek gawang lawan walaupun menyedari tugas lebih sukar berdepan JDT.

"Apa yang berlaku minggu lepas, saya telah berbincang dengan Spaso agar dia meletak jawatan sebagai ketua pasukan kerana jelas sekali, dia bergelut untuk mengetuai pasukan seperti yang kami harapkan.

"Saya mahu dia memberi tumpuan kepada memburu jaringan dan ia berhasil apabila dia berjaya mencetak dua gol.

"Kami mengharapkan dia melaksanakan peranan terbaiknya, iaitu menjaringkan gol dan kami perlu membuat umpanan kepadanya.

"Kami harus memastikan dapat membuat hantaran yang baik.

"Kami berharap dapat menyaksikan aksi berbeza daripada Spaso untuk mengulangi prestasinya pada minggu lalu.

"Saya harap kita dapat menyaksikan persembahan yang menjadikan dia sebagai penjaring terbanyak musim lalu," kata Williams.

Bekas pengendali Yangon United itu optimis Spasojevic mampu menggalas tugas itu biarpun tanpa kelibat Amri Yahyah yang tidak dapat beraksi atas perjanjian bersama kedua-dua pasukan sebelum permulaan musim 2017.

Untuk rekod, Spasojevic sekadar meledak tiga gol dalam saingan musim ini.