ITALY 2 ALBANIA 0

Giampiero Ventura yakin Itali mampu menjadi pasukan yang menarik di bawah bimbingannya selepas merakamkan kemenangan 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia ke atas Albania, awal tadi.


The Azzurri masih terikat dengan Sepanyol dalam carta Kumpulan G selepas mencatatkan kemenangan di Palermo menerusi jaringan Daniele De Rossi dan Ciro Immobile.

Itali dipaksa bekerja keras ketika menghadapi Albania, bagaimanapun Ventura menegaskan ia adalah langkah kecil ke arah pembangunan jangka panjang bersama skuad muda.

"Kami adalah pasukan yang agak baru, kami mengambil langkah kecil untuk maju ke hadapan," katanya kepada Raisport.

"Tidak mungkin ia prestasi yang luar biasa, tetapi kami telah meraih apa yang diperlukan untuk menjadikan Itali sebuah pasukan yang menarik.

"Kami memulakan langkah di sini. Mereka yang tidak bermain pada hari ini akan bermain esok atau lusa.

"Terdapat ramai pemain muda dan muka baru yang menimba pengalaman dan kami mempunyai segala-galanya dalam usaha membina masa depan yang kukuh untuk pasukan kebangsaan."

Ditanya sama ada pemain tengah, Marco Verratti, boleh menampilkan prestasi yang lebih baik, Ventura menegaskan bahawa semua pemainnya mempunyai ruang untuk penambahbaikan.

"Marco Verratti mampu menjadi lebih konsisten sepanjang 90 minit, tetapi semua pemain boleh melakukan yang lebih baik lagi," katanya.

"Sebaik mereka sedar apa yang mereka dicapai, mereka akan menempuhi sebuah dunia baru."