Pengurus Milan, Stefano Pioli, berharap untuk menandatangani seorang pertahanan tengah baharu dalam jendela perpindahan bulan depan selepas Simon Kjaer sah akan terlepas baki kempen musim ini.

Kjaer mengalami kecederaan lutut kiri pada awal kemenangan 3-0 Milan ke atas Genoa, kelmarin, hingga terpaksa diusung keluar.

Milan kemudian mengumumkan di laman sesawang rasmi mereka bahawa pemain antarabangsa Denmark itu akan menjalani pembedahan lutut (ACL) hari ini dan dijangka berehat panjang selama enam bulan.

Bercakap sebelum bertemu Salernitana, Pioli mengesahkan Milan perlu mencari pengganti sekiranya kecederaan Kjaer itu berpanjangan.

"Saya percaya perlu campur tangan jika perkara sebegini berlaku," kata Pioli.

"Tetapi kami hanya akan melakukannya untuk cuba memperbaiki pasukan.

"Berbaloi untuk berubah dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan. Jika perlu, kelab akan bersedia."



Kjaer merupakan nadi di benteng sejak tiba dari Sevilla pada Januari 2020 menerusi perjanjian pinjaman yang menyaksikannya memulakan 13 daripada 20 perlawanan musim ini.

Perlawanan pertama Milan tanpa pemain berusia 32 tahun itu adalah menentang kelab tercorot Serie A, Salernitana, malam ini akan berlangsung di tempat sendiri selepas kali terakhir berentap pada Januari 1999.

Rossoneri hanya tewas sekali daripada 20 perlawanan terakhir Serie A apabila menentang pasukan yang baru dinaikkan pangkat dengan mengekalkan 12 gol tanpa bolos sepanjang tempoh itu.

Dengan Milan ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Napoli, pasukan bimbingan Pioli itu berpeluang membina semula momentum menerusi kemenangan ke atas Salernitana.

"Perlawanan esok adalah penting bagi mencipta kesinambungan,” katanya lagi.

"Kami mempunyai satu lagi peluang untuk membuktikan bahawa kami adalah sebuah pasukan yang mantap.

"Mereka merupakan lawan yang sukar, sangat menjengkelkan dalam fasa tidak menguasai bola dan akan mengasak anda dengan agresif dan berkeyakinan. Ini adalah satu pertemuan yang kami mahu lakukan dengan baik."