Gelson Martins percaya dia gagal memberi impak di Atletico Madrid disebabkan taktikal Diego Simeone yang terlalu bertahan tidak sesuai dengannya.

Pemain Portugal, Martins, menyertai Atletico daripada Sporting Lisbon Julai lalu, tetapi hanya tampil sekali dalam kesebelasan utama bagi saingan LaLiga sebelum dipinjamkan kepada Monaco, Januari lalu.

Dia menyesuaikan diri dengan lebih baik di Stade Louis II setelah menyumbat empat gol dan mencipta dua bantuan jaringan dalam 16 penampilan di pentas Ligue 1 dalam babak kedua saingan.

Martins, yang mengakui kecewa gagal mencapai prestasi terbaik di Atletico, memberitahu akhbar Portugal, Record,: "Ia adalah tahun yang suakr. Apabila saya ke Atletico, saya hadir dengan keinginan untuk beraksi tetapi bukan mudah untuk masuk ke dalam pasukan.

"Mungkin cara permainan saya tidak sesuai dengan idea Simeone kerana ia merupakan pasukan yang terlalu bertahan.

"Kami berbincang dan Simeoone memberikan pesanan kepada saya, memberitahu dia mahu menggunakan saya di penghujung permainan kerana ia berguna untuk serangan balas. Namun, apabila masuk, ia tidak berjalan lancar."

Dia menambah: "Pada permulaan, saya sangka ia akan jadi bagus kerana saya melihat mereka bertahan dan melakukan serangan balas. Saya mula beraksi dan mengalami kesukaran.

"Saya pemain yang pantas, suka menggunakan kelajuan dan mula mendapatkan bola ketika membelakangkan gawang lawan. Saya sedikit kecewa tetapi ada juga pemain yang meninggalkan Portugal dan berjaya di Atletico," katanya.

Bulan lalu, Monaco mengumumkan telah mencapai persetujuan untuk mendapatkan Martins secara tetap dan setelah melalui tempoh enam bulan mengecewakan di Sepanyol, dia bersedia untuk kembali ke prestasi terbaik.

"Pergi ke Monaco Januari lalu merupakan keputusan yang logik," tambahnya.

"Kami tidak boleh lupakan asal-usul untuk mendapatkan kejayaan. Di mana sahaja saya melalui kesukaran, saya berfikir bahawa banyak perkara sudah saya harungi dan ia tidak menyekat kemaraan saya."