BARCELONA 0 JUVENTUS 0
(Juventus mara dengan agregat 3-0)

Paulo Dybala berkata, Juventus bukan pasukan pilihan untuk mengungguli Liga Juara-Juara selepas mereka menyingkirkan Barcelona di peringkat suku akhir.


Juve menyertai Atletico Madrid, Monaco dan juara menanti, Real Madrid, dalam separuh akhir apabila mara dengan agregat 3-0 susulan keputusan seri tanpa jaringan yang diraih dalam pertemuan kedua di Camp Nou, awal pagi tadi.

Dybala, yang meledak dua gol dalam aksi pertama, menganggap pasukan kendalian Luis Enrique itu adalah pasukan yang perlu ditewaskan dalam pertandingan ini, namun Juve tidak boleh meminggirkan keupayaan pencabar lain menjelang majlis undian di Nyon, esok.

"Ketika kami menonton undian suku akhir bersama-sama, kami semua sepakat bahawa kami mahu mengelak Barcelona," kata Dybala kepada Mediaset Premium.

"Sekarang, saya tidak melihat mana-mana kelab adalah pasukan pilihan. Kesemua empat pasukan mempunyai peluang sama rata untuk meneruskan kemaraan. Mari kita lihat hasil undiannya nanti."

Anak buah Massimiliano Allegri hanya melepaskan dua gol dalam 10 perlawanan Liga Juara-Juara musim ini dan Dybala menegaskan bahawa kemampuan pertahanan Juve mengekang Barca adalah tugas berat.

"Tidak melepaskan sebarang gol ketika menentang pasukan seperti Barcelona bukanlah mudah," kata penyerang Argentina itu.

"Kami amat gembira dengan pencapaian menewaskan sebuah pasukan hebat.

"Dengan mengambil kira semua aspek, termasuk PSG, kami sedar bahawa kami perlu beraksi mantap."