Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sedang mempertimbangkan saranan penyokong mereka untuk mengikat bekas pemain import Kedah, Liridon Krasniqi dari Kosovo, bagi memperkuatkan skuad Singa Utara dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

PFA, menerusi muat naik terbaru di laman Facebook, memaklumkan mereka berharap dapat memulakan rundingan dengan Liridon secepat mungkin kerana barisan kejurulatihan kini mencari pemain import untuk memperkuatkan pasukan berkenaan.

Liridon atau lebih mesra disapa Mat Don dalam kalangan penyokong Kedah, kini berstatus ejen bebas setelah Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak pemain berusia 27 tahun itu.

Untuk rekod, pemain tengah itu menjaringkan 38 gol ketika membuat 105 penampilan bersama Kedah dari 2015 sehingga 2018.

Dalam perkembangan berasingan, PFA memaklumkan skuad Singa Utara bakal menyertai Kejohanan Bola Sepak Jemputan Empat Penjuru ‘Southern Invitation 2019’, dari 11-13 Januari ini di Surat Thani, Thailand.

Mereka dijadualkan bertemu Nara United pada Jumaat, Wu Nakhornsi United (Sabtu) dan Surat Thani FC (Ahad).

Kejohanan jemputan itu akan digunakan oleh barisan kejurulatihan skuad Singa Utara untuk menguji keserasian pemain bagi memantapkan persiapan pasukan berkenaan bagi menghadapi saingan Liga Perdana 2019.

-- BERNAMA