LECCE 1 INTER MILAN 2

Ketua jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi, tidak berpuas hati dengan persembahan pasukannya ketika menewaskan pasukan baru, Lecce, 2-1 di gelanggang lawan awal pagi tadi dengan berkata perjuangan merebut kejuaraan musim ini tidak boleh bergantung kepada gol kemenangan pada minit ke-94 seperti itu.

Pasukan gergasi Itali itu -- yang mencatatkan perbezaan jaringan terbaik dalam Serie A musim lalu (+52) -- membuka jaringan seawal 81 saat pertama apabila pemain pinjaman, Romelu Lukaku, menanduk masuk lintangan Matteo Darmian dari jarak dekat.

Inter mengawal 70 peratus permainan dalam babak pertama untuk mengekalkan pendahuluan mereka tetapi segalanya berubah hanya selepas dua minit perlawanan bersambung dalam babak berikutnya apabila Assan Ceesay menyumbat masuk gol penyamaan dengan sepakan rendah kaki kiri untuk mengatasi penjaga gol Inter, Samir Handanovic, selepas satu gerakan serangan balas pantas.

Keputusan 1-1 kelihatan akan kekal ke penghujung perlawanan sehinggalah Denzel Dumfries menanduk masuk gol kemenangan Inter dalam waktu kecederaan.

Bercakap kepada DAZN selepas kemenangan itu, Inzaghi berkata bahawa terdapat perkara positif untuk dilihat tetapi pasukannya perlu tampil lebih meyakinkan bertemu pasukan yang baru dinaikkan liga itu, yang bermain dalam perlawanan perlawanan Serie A pertama sejak tujuh tahun lalu.

"Pasukan seperti kami tidak boleh menang dalam waktu kecederaan.

"Kami memberikan sepenuh jiwa di atas padang kerana kami menang pada minit ke-94 tetapi banyak yang perlu dikaji daripada perlawanan ini.

"Saya bernasib baik kerana memiliki penyerang yang boleh beraksi bersama seperti (Edin) Dzeko dan Lukaku yang membenarkan kami untuk bermain secara langsung, terutama di atas permukaan padang yang tidak begitu baik pada penghujungnya, dengan pemain tengah yang boleh datang dari belakang mereka. Ia merupakan pilihan yang boleh digunakan akan datang.

"Kami melalui setengah jam pertama dengan cemerlang, kemudian kami menjadi gugup, kehilangan ketenangan dan dibolosi gol penyamaan.

"Kami sepatutnya menjaringkan lebih gol sebelum itu tetapi pasukan seperti ini tidak boleh terlalu tertekan dan anda tidak boleh menunggu sehingga saat-saat akhir untuk menang," katanya.