Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, pantas menolak untuk bercakap mengenai spekulasi yang mengaitkan perpindahan Antoine Griezmann ke Barcelona menjelang pertemuan dengan Espanyol, malam ini.

Juara LaLiga musim 2017/18 itu dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang Perancis itu sejak sekian lama dan Atletico telah melaporkan tindakan Barca cuba melakukan perbincangan dengan pemain berusia 27 tahun itu secara tidak sah kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada Disember lalu.

Dalam satu sesi temubual bersama stesen radio Uruguay, Radio Rincon, minggu ini, Luis Suarez tampak mengesahkan Griezmann bakal mengikut jejak langkah Ousmane Dembele dan Philippe Coutinho untuk menjadi nama terbaru bakal ke Camp Nou.

“Ia membuatkan pasukan bangga untuk membawa masuk pemain berkualiti seperti Griezmann, sama dengan sewaktu Dembele dan Coutinho tiba,” kata Suarez.

Bagaimanapun, Simeone menjelaskan dia tidak berada dalam keadaan yang bagus untuk berbincang lebih lanjut mengenai perkara itu dan apabila diminta untuk mengulas kenyataan Suarez, dia hanya membalas: “Espanyol.”

Dalam masa sama, Simeone lebih gemar untuk bercakap mengenai perkembangan pasukannya untuk masa akan datang sambil menyifatkan kehilangan pemain utama seperti Griezmann bukanlah agenda utama.

“Kami tidak memikirkan tentang situasi individu. Kami sedang berusaha untuk memastikan pemain utama kekal bagi membantu pasukan terus berkembang.

“Segala keputusan adalah yang terbaik untuk pasukan ini,” ujar Simeone.