BARCELONA 0 ATLETICO 0

Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, tidak akan menonton perlawanan LaLiga di antara Real Madrid dan Sevilla, awal pagi esok.


Keputusan seri tanpa juara Atleti dengan pencabar kejuaraan, Barcelona, malam tadi membuka pintu buat Los Blancos, untuk merampas teraju saingan ke atas seteru kota Madrid itu.

Kemenangan akan meletakkan mereka sama mata tetapi Real Madrid akan lebih unggul hasil rekod pertemuan musim ini.

Atleti mendominasi pembukaan 45 minit di Camp Nou tetapi buntu untuk melewati penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen.

Los Rojiblancos memiliki enam percubaan tepat dalam separuh masa pertama -- kesempatan sebelum rehat terbanyak oleh mana-mana lawan ketika bertemu Barca musim ini.

Bagaimanapun, pengurus berbangsa Argentina tersebut tidak berminat untuk menonton pertembungan di Stadium Alfredo Di Stefano itu, sebaliknya lebih gemar meluangkan masa di samping keluarganya menjelang kunjungan Real Sociedad, awal pagi Khamis depan.




"Saya tidak fikir saya akan menontonnya," katanya dalam sidang media.

"Saya tidak menyaksikan perlawanan. Saya tidak mahu bersenang lenang malah saya lebih suka untuk tidak menontonnya.

"Ia tidak akan banyak mengubah keadaan seandainya saya melihatnya. Saya akan menikmati makan malam bersama keluarga dan menjalani persiapan pada Isnin(esok) untuk mengharungi perlawanan yang baik ketika menentang Real."

Keputusan seri itu menyaksikan Simeone muncul pengurus terbanyak mengikat Barca dalam LaLiga, iaitu seri empat kali dan tewas lima kali sepanjang mengemudi Atleti di Camp Nou.

Biarpun hasil perlawanan tidak seperti yang dijangkakan, Simeone tetap gembira dengan usaha barisan pemainnya.

"Kami bertandang ke Barcelona untuk memperagakan aksi dengan tekad dan kerjasama demi merealisasikan hajat kami," tambahnya.

"Kami mempamerkan aksi menarik dalam babak pertama. Separuh masa kedua lebih seimbang. Pasukan ini melakukan tugas mereka dengan baik dan kami perlu menempuhi jalan yang sepatutnya, iaitu menangani perlawanan demi perlawanan.

"Satu-satunya perkara yang saya pesan kepada pemain ialah bermain, mereka menjadi diri sendiri dan mereka berjaya. Dan mereka benar-benar melaksanakannya.

"Ia menggembirakan saya kerana kejayaan sebenar ialah kesempatan bersaing di kedudukan ini pada setiap tahun."