Simeone teruja aksi Gonzalez, Moya

Penulis Jemputan
Oktober 26, 2017 00:47 MYT
Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, memuji dua pemain mudanya, Sergio Gonzalez dan Antonio Moya, selepas tampil buat kali pertama ketika turun menentang Elche di tempat lawan dalam saingan Copa Del Rey, awal pagi tadi.
Atletico sekadar seri 1-1 selepas jaringan Thomas Partey pada minit ke-17 dipadamkan oleh Lolo Coronado yang menyudahkan sepakan penalti selepas tujuh minit babak kedua bersambung.
Bagaimanapun, aksi Gonzalez yang kini berusia 22 tahun sementara Moya, 19, membuatkan Simeone gembira melihat perkembangan daripada skuad pembangunannya.
"Sergi bermain dengan baik dan Moya menampilkan ketenangan di atas padang walaupun perlawanan berkesudahan seri.
"Mereka menunjukkan prestasi yang baik dan kami menyukainya," kata Simeone.
Keputusan seri di tempat lawan bermakna Atletico perlu bekerja lebih keras dalam aksi timbal balik di Wanda Metropolitano pada Ahad ini.
"Kami berusaha gigih dan meraih banyak peluang dalam babak pertama.
"Separuh masa kedua, lawan lebih baik dan berjaya meraih penalti.
"Selepas gol penyamaan, kami mempunyai ruang untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan tetapi perlu menunggu sehingga aksi kedua," katanya.
#Diego Simeone #Copa del Rey #Atletico Madrid #Antonio Moya #Sergio Gonzalez