ALAVES 1 ATLETICO 0

Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, tidak mahu membebani barisan penyerangnya selepas dikejutkan Deportivo Alaves dalam kempen LaLiga, malam tadi.


Victor Laguardia menyumbat gol tunggal perlawanan di Estadio de Mendizorroza itu pada minit ke-4 untuk menghadiahkan kekalahan pertama Atleti musim ini.

Pelawat hanya mampu menghasilkan satu percubaan tepat -- pemain gantian, Angel Correa, menuntut ketangkasan menyelamat daripada Fernando Pacheco -- ketika pasukan asuhan Simeone itu terlepas peluang untuk memintas pendahulu liga, Real Madrid.

Juara bertahan Sepanyol itu kini gagal menjaringkan sebarang gol dalam tiga daripada empat perlawanan terakhir dan hanya menang sekali.

Walaupun memainkan peranan penuh, Luis Suarez dan Antoine Griezmann gagal melengkapkan satu hantaran sekalipun di antara satu sama lain.

Griezmann belum mencatat sasaran tepat dalam tujuh aksi terakhir LaLiga termasuk di Barcelona.

Daripada melayani kritikan terhadap Suarez, Griezmann dan Correa, pengurus Atleti itu sebaliknya mengakui bahawa dia sendiri sepatutnya mencari jalan untuk mengucar-ngucarkan permainan Alaves.

"Saya bertanggungjawab kerana tidak menemui jalan untuk mengatasi pertahanan mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Apabila pasukan lawan bertahan dengan baik, adalah sukar untuk mencari jalan keluar.

"Ini bertambah sukar apabila pasukan seperti Alaves menutup ruang. Kami tidak mempunyai kepantasan atau kemampuan untuk menyakiti mereka. Mereka layak menang kerana mereka menjaringkan gol dan tahu bagaimana mempertahankan."






Gol yang dihasilkan Laguardia itu adalah menerusi situasi bola mati selepas pertahanan tengah tersebut mengatasi lonjakan Stefan Savic.

Separuh daripada 10 gol yang mereka lepaskan adalah menerusi tandukan, lantas Simeone mengakui pasukannya harus bertambah baik di kawasan itu.

"Saya rasa pertahanan tidak boleh dipersalahkan atas kekalahan ini kerana gol itu datang daripada bola pegun," katanya.

"Tetapi jika ada kelemahan di bahagian benteng atau ketika mempertahankan situasi bola mati, maka sudah jelas kami harus belajar, berusaha dan memperbaikinya.

"Kami perlu terus bertambah baik. Kami mempunyai beberapa fasa tahap kesabaran hari ini dan saya menaruh kepercayaan kepada pemain-pemain ini."