Diego Simeone berkata bahawa dia amat menghormati Ronald Koeman dan bersimpati dengan situasi yang dilalui pengendali itu menjelang pertemuan Atletico Madrid dan Barcelona dalam LaLiga awal pagi esok.

Atletico tewas kepada Deportivo Alaves dalam perlawanan liga terakhir dan kini sedang berusaha untuk mengelakkan kekalahan berturut-turut buat kali pertama dalam kejohanan itu sejak 2019.

Pasukan bimbingan Simeone itu kini berada di tangga keempat liga dan hanya memenangi satu daripada 11 perlawanan terakhir menentang Barca di gelanggang sendiri.

Barca masih belum tewas sepanjang enam perlawanan LaLiga musim ini tetapi tekanan yang dihadapi ketua jurulatihnya, Koeman, kian memuncak.

Terdapat laporan mendakwa bahawa Koeman, yang sedang berdepan kritikan hebat, akan dilepaskan daripada jawatan di Camp Nou itu tetapi Simeone memuji jurulatih berbangsa Belanda berkenaan menjelang pertemuan di ibu kota Sepanyol itu.



"Dia sudah pasti sedang berada dalam situasi yang tidak selesa dan bagi pihak kami, saya dapat bayangkan bahawa kesemua rakan sekerjanya menghormatinya sebagai jurulatih dan dia pasti dapat melakukannya dengan baik," kata Simeone kepada wartawan dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Bukan tugas saya untuk menilai perkara ini. Saya amat menghormati Koeman, dia telah menunjukkan perwatakannya dan saya mendoakan yang terbaik buatnya. Mengenai peralihan itu, kami terlalu sibuk dengan pasukan kami dan kami tidak mahu mengambil hirau dengan apa yang berlaku dalam pasukan lain.

"Apa yang kami fikir tentang nilai pasukan lawan, Barcelona mempunyai pemain bola sepak yang hebat, jurulatih yang amat bagus dan berperwatakan dan kami hanya fokus untuk melakukan yang terbaik dan meningkatkan diri kami," katanya.