Diego Simeone berkata setiap pemain memerlukan tempoh masa yang berlainan untuk menyesuaikan diri beraksi buat Atletico Madrid susulan pemain termahal kelab itu, Joao Felix, dilihat bergelut musim ini.

Felix -- yang hadir daripada Benfica dengan nilai EUR126 juta (RM573 juta) Julai lalu -- hanya menjaringkan dua gol dalam 15 penampilan LaLiga serta satu bantuan jaringan.

Pemain Portugal itu telah melalui 659 minit di pentas tertinggi tanpa sebarang gol serta bantuan jaringan dan menjelang aksi separuh akhir Piala Super Sepanyol menentang Barcelona di Arab Saudi, Ahad ini, Simeone ditanya mengenai pemain berusia 20 tahun itu.

"Setiap pemain mempunyai personaliti berbeza dan memerlukan tempoh masa berlainan," katanya.

"Kami cuba untuk mendapatkan sentuhan terbaik setiap pemain baru dengan penuh keinginan dan emosi kerana selain bakat, mereka memerlukan komitmen.

"Apabila perasaan untuk mewakili Atletico muncul, ia datang secara semula jadi buat semua, sama seperti ketika Stefan Savic dan Koke tiba di sini.

"Saya tidak sebutkan nama tetapi ia mengenai bola sepak yang kami miliki di sini sejak sekian lama."

Di sebalik pergelutan yang dihadapi Felix, Atletico kini kembali ke puncak prestasi selepas mencipta empat kemenangan berturut-turut.

Namun, mereka masih belum menundukkan Barca dalam sembilan pertemuan dalam semua kejohanan.

"Kami tahu kekuatan lawan. Serangan serta gerakan individu mereka mematikan usaha berpasukan yang ditampilkan lawan yang dihadapi.

"Kami menuju perlawanan itu dengan momentum bagus sambil beberapa perkara perlu diperbaiki. Beraksi menentang pasukan terbaik dunia membuatkan anda lebih kuat kerana perlu mengubah situasi sejak wisel permulaan.

"Ia berbeza dengan aksi liga kerana terdapat penyingkiran dan hanya satu keputusan, jadi perlu menang.

"Kami faham ia satu peluang untuk memperkembangkan pasukan serta membuat penyokong gembira."



Editor: Nafis Abdullah