Diego Simeone mengesahkan bahawa Luiz Suarez akan diturunkan mewakili Atletico Madrid dalam perlawanan LaLiga menentang Valencia awal pagi esok walaupun di sebalik penurunan prestasi dan pertelagahan di antara kedua-dua individu itu baru-baru ini.

Pemain kebangsaan Uruguay itu merupakan penjaring terbanyak Los Rojiblancos dalam kesemua kejohanan musim ini dengan sembilan gol tetapi dia hanya menemui satu jaringan dalam 11 perlawanan terakhir.

Suarez memperlihatkan kekecewaannya selepas digantikan sewaktu pasukannya tewas 1-2 kepada Sevilla bulan lalu, di mana dia dilihat bersemuka dan bertelingkah dengan pengurusnya itu.

Kontrak pemain berusia 34 tahun itu akan tamat pada penghujung musim ini dan dia sedang hangat dikaitkan untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama bekas rakan sepasukannya sewaktu di Liverpool, Steven Gerrard -- yang kini bertindak sebagai pengurus Aston Villa.

Bagaimanapun, Simeone menegaskan dalam sidang media sebelum perlawanan awal pagi esok bahawa dia sudah bercakap dengan Suarez dan bersedia untuk menurunkan pemain itu.

"Luiz Suarez akan bermain," kata pengurus berbangsa Argentina itu.

"Saya tiada keraguan bahawa momen seperti ini akan menjadikan kami lebih kuat kerana kami telah melalui pelbagai momen sukar dan juga momen yang indah sepanjang 10 tahun saya di kelab ini (sebagai jurulatih).

"Momen seperti ini merupakan sesuatu yang kami tidak pernah alami sebelum ini dan ia seperti kehidupan itu sendiri, kita perlu mempertahankan diri kita secara berterusan.

"Apa yang anda lakukan semalam tidak dikira, ia hanya tentang apa yang anda lakukan hari ini dan saya menggemarinya seperti ini kerana ia juga berlaku dalam kehidupan seharian kita sendiri.

"Saya sudah bercakap dengan Luis dan dengan kelab ini. Semua orang yang berkaitan, saya juga sudah bercakap dengan mereka. Mereka tahu apa yang saya fikirkan dan saya ketika ini hanya memikirkan mengenai perlawanan dengan Valencia," katanya.