Simeone risau kelibat Morata

Penulis Jemputan
September 27, 2017 01:04 MYT
Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, menjangkakan anak-anak buahnya berdepan tugas berat untuk mengekang Alvaro Morata menjelang pertemuan Kumpulan C Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Wanda Metropolitano, awal pagi esok.
Atletico belum pernah tewas dalam empat pertemuan dengan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu dan berharap dapat mengekalkan rekod tersebut menjelang perlawanan ke-50 Simeone dalam saingan UCL bersama Atletico.
Hasrat itu berdepan cabaran getir selepas Morata kini berada dalam prestasi terbaik, menjaringkan enam gol dalam enam penampilan di peringkat domestik, dan berupaya menghadirkan masalah besar buat Atletico.
"Morata adalah pemain penting. Dia memiliki pergerakan yang hebat dalam petak penalti dan sentiasa tahu di mana kedudukan gol.
"Pastinya dia akan beraksi baik di Chelsea bersama pemain-pemain hebat lain seperti Willian, Eden Hazard dan Pedro," kata Simeone.
Pemain tengah Atletico, Koke, turut memberikan pujian buat rakan senegaranya itu tetapi berharap agar Morata tidak berjaya menampilkan prestasi cemerlang awal pagi esok.
"Terdapat ramai pemain berbangsa Sepanyol di Chelsea dan mereka menjaringkan gol, seperti Morata. Setiap sentuhannya akan berakhir dengan jaringan.
"Saya berharap mereka tidak berjaya melakukannya esok," ujar Koke.
#Chelsea #Diego Simeone #Liga Juara-Juara Eropah #Alvaro Morata #Koke