Diego Simeone memuji persembahan Yannick Carrasco selepas bintang Belgium itu menjadi watak penting membantu Atletico Madrid melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas Celta Vigo, lewat pagi tadi.

Kedua-dua pasukan menghasilkan aksi cukup mendebarkan di Vicente Calderon dan Atletico terpaksa bangkit dua kali daripada ketinggalan -- Fernando Torres meledak gol penyamaan selepas jaringan pembukaan oleh Gustavo Cabral.

John Guidetti kembali menghadirkan keceriaan buat pasukan pelawat, namun Atletico sekali lagi menyamakan kedudukan, kali ini menerusi voli dari jarak 25 meter oleh Carrasco sebelum Antoine Griezmann mengesahkan kemenangan 3-2 di hujung perlawanan.

Aksi Carassco dipuji Simeone sambil mempertahankan prestasi Kevin Gamiero kerana masih bergelut di hadapan gawang lawan.

"Dia sedang berkerja keras," ujar Simeone tentang pemain sayap Belgium itu. "Hari demi hari, dia mempamerkan kemajuan.

"Dia memulakan musim ini dengan cukup baik, mengatasi jaringan gol musim lalu. Berdepan Barcelona, dia turut mencuri tumpuan.

"Di antara tiga gol dijaringkan, sumbangannya paling menakjubkan. Untuk Gameiro; tandukannya kepada Griezmann merupakan faktor penting, dia juga mendapat peluang pada masa kecederaan tetapi rembatannya terkena palang.

"Dia perlu lebih tenang, saya yakin dia akan terus memberikan kami semangat di atas padang."